KEMPEN pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi sudah masuk hari kelapan dan selama itu jugalah saya mengikut ke mana saja calon Barisan Nasional (BN), Datin Linda Tsen Thau Lin, 54, pergi sama ada di bandar, pekan kecil, kampung atau penempatan terpencil termasuk di kawasan pulau menaiki bot.
Saya tidak kenal Tsen, ibu kepada empat anak berusia antara 13 dan 23 tahun, apabila namanya diumumkan sebagai calon dua hari sebelum penamaan calon. “Datin Linda?” – tanya hati kecil saya.
Apabila ditugaskan ke Sandakan dari pejabat di Kota Kinabalu untuk membuat liputan pilihan raya kecil itu dan menghadiri majlis pengumuman calon, saya masih tertanya-tanya, mampukah balu mendiang Edmund Chong Ket Wah itu, menggalas tugas wakil rakyat.
Beliau lembut, tenang dan seakan tidak percaya akan dicalonkan, tetapi mempunyai sifat keibuan tinggi. Mungkin kerana masih berkabung atas kematian mengejut suaminya kerana kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu 9 Oktober lalu, menyebabkannya beliau kelihatan agak sugul dan jarang senyum.
Itu semua kisah pada peringkat awal. Hari demi hari, perubahan pada sikap dan langkah Tsen semakin jelas, di sebalik pelbagai tuduhan terutama pembangkang, kononnya calon BN itu golongan elit, lemah, sukar senyum dan tidak fasih berbahasa Melayu.
Tetapi itu pandangan mereka dari jauh. Saya yang mengikutinya sebagai wartawan atas arahan tugasan rasmi, siang dan malam, kecuali apabila Tsen masuk ke bilik penginapannya, kini mulai tahu siapa sebenarnya Tsen, sekali gus mengikis segala tanggapan negatif itu.
Beliau sebenarnya peramah, mudah didekati, mesra, tidak sombong, merendah diri dan mempunyai sifat kepemimpinan yang cukup menyerlah.
Kini, apabila bersalaman dengan orang ramai tanpa mengira kaum dan peringkat umur, Tsen akan menggengam erat tangan orang yang menghulur salam itu.
“Pak Cik.... jaga kesihatan Pak Cik,” katanya sambil menepuk bahu seorang warga tua yang kelihatan uzur apabila melawat sebuah perkampungan Bumiputera Islam. Malah, Tsen sudah mudah tersenyum dan mungkin detik hitam kehilangan suami tersayang, sudah mula diterimanya atas takdir yang berlaku.
Pada peringkat awal kempen, Tsen dilihat lebih gemar berbahasa Inggeris, tetapi sesudah kempen memasuki fasa seterusnya, beliau sebenarnya boleh berbahasa Melayu.
Dengan bantuan jentera kempen BN, Tsen sudah melawat sebahagian besar kawasan di Parlimen Batu Sapi – yang bukan asing baginya kerana kerap mengiringi mendiang suaminya yang menjadi Ahli Parlimen kawasan itu sejak dua penggal lalu.
Menjelang baki dua hari lagi berkempen, Tsen terus mengorak langkah menemui seramai mungkin pengundi meskipun suaranya kadangkala agak serak dan keletihan.
Saya mendapati, sokongan masyarakat Bumiputera kini semakin selesa, tetapi kerja keras perlu dilakukan khususnya bagi menarik hati pengundi muda, termasuk di kawasan majoriti penduduk Cina yang mewakili 9,737 pengundi atau 38.06 peratus.
Semangat juangnya dilihat bertambah kental dengan sokongan padu pemimpin komponen BN lain termasuk Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Armani Mahiruddin dalam memastikan kemenangan calon BN itu, selain jentera pilihan raya PBS yang bertungkus-lumus sepanjang masa.
“Saya tidak peduli apa yang diperkatakan orang mengenai saya. Apa yang penting, saya meneruskan khidmat baik yang pernah dilaksanakan mendiang suami untuk menabur bakti di Parlimen Batu Sapi,”katanya.
“Saya mahu memberi khidmat terbaik kepada penduduk tanpa mengira bangsa dan agama.
“Saya juga mahu membantu ibu tunggal kerana menjadi ibu tunggal bukan mudah. Saya mahu memastikan nasib dan pendidikan anak ibu tunggal terjamin. Saya menyedari kelemahan diri, tetapi proses pembelajaran tidak pernah berakhir,” kata Tsen, yang juga Naib Ketua Wanita PBS.