MASYARAKAT Sibu semestinya mahu melihat calon yang menang mengotakan janji dalam pilihan raya kecil ini.
Pelaksanaan projek diumum buka mata masyarakat, tangkis politik propaganda
PILIHAN raya kecil Parlimen Sibu yang berakhir semalam menyimpan himpunan kisah pahit manis bagi masyarakat di kawasan Sibu dan jentera Barisan Nasional (BN) serta pembangkang, termasuk dari Semenanjung.
Bandar yang pada 1948 itu menyaksikan pejuang kemerdekaan Sarawak, Rosli Dhoby membunuh Gabenor Inggeris, Sir Duncan Stewart, dipenuhi dengan jentera kedua-dua parti, sama ada pemimpin politik atau mereka yang bertungkus-lumus bekerja siang dan malam di peringkat akar umbi untuk meraih undi.
Jika pada ketika Rosli yang berusia 17 tahun, membunuh Stewart, Sibu hanyalah pekan kecil di tebing Sungai Rejang, Sibu sekarang adalah bandar ketiga terbesar di Sarawak yang menyediakan peluang ekonomi, khususnya bagi masyarakat Cina Foochow, selain sebilangan kecil masyarakat Bumiputera.
Kakak Rosli, Fatimah yang kini tinggal di Kampung Bandong, kira-kira 10 kilometer dari bandar Sibu, sepanjang kempen berkenaan, turut menerima kunjungan pemimpin BN dan pembangkang yang memberikan penghormatan kepada beliau sebagai mengenang pengorbanan Rosli memperjuangkan kemerdekaan Sarawak bersama anggota Rukun 13.
Walaupun bagi kebanyakan petugas media dan jentera BN serta pembangkang, khususnya dari Semenanjung, pilihan raya kecil Parlimen Sibu tidak semeriah pilihan raya kecil di Semenanjung sebelum ini berikutan kurangnya perang poster dan kejadian tegang membabitkan jentera dan penyokong kedua-dua parti, ia tetap menyimpan aspek menarik untuk diteliti.
Daripada hal yang berkaitan dengan penamaan calon pada 8 Mei lalu hinggalah kempen pilihan raya berakhir pada jam 12 tengah malam Sabtu lalu, selain ketika pengundi melaksanakan tanggungjawab masing-masing semalam, pelbagai aspek menarik untuk dilihat.
Satu hal yang jelas ialah jentera dan penyokong BN di Sibu tercabar dengan kerakusan pemimpin pembangkang ‘membelasah’ bukan saja kepemimpinan negeri ini, malah BN secara keseluruhannya.
Kejadian kira-kira jam 10.30 malam Jumaat lalu di medan selera Bandong, kira-kira 10 kilometer (km) dari pusat bandar Sibu, menyaksikan pentas ceramah BN dan PR yang terpisah hanya pada jarak kira-kira 50 meter, hampir menjadi titik pertempuran petugas jentera BN dan pembangkang.
Sejurus selepas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim meninggalkan pentas ceramah dengan kesan kritikan pedas terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang menyebabkan jentera BN ‘panas,’ beberapa jentera BN segera berteriak menyentuh hal perbicaraan yang sedang dijalani Anwar di mahkamah sekarang.
Dalam tempoh tidak sampai lima minit, pentas ceramah pembangkang sudah dikerumuni sekumpulan lelaki yang naik berang dengan tuduhan Anwar, menyebabkan jentera pilihan raya pembangkang segera membalas dengan melaungkan ‘reformasi’.
Mujurlah anggota polis berpakaian preman dari Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) bertindak pantas mengawal keadaan. Bagaimanapun, bukan mudah untuk menyuraikan kedua-dua pihak yang diselubungi perasaan amarah yang seolah-olah tidak mampu dipadamkan.
Dengan meminjam perkataan ‘politik propaganda’ dan ‘politik perkhidmatan’ yang digunakan Abdul Taib ketika berkempen, kejadian itu adalah bukti jelas pembangkang tidak mempedulikan sensitiviti masyarakat tempatan, terutama yang berkaitan dengan kepemimpinan kerajaan negeri.
Mungkin bagi pembangkang, tuduhan seperti Taib Mahmud harus segera turun daripada kerusi empuknya bagi memberi peluang kepada pemimpin lain menerajui kerajaan negeri, tidak lebih daripada sekadar kelaziman modal politik dibawa dari Semenanjung tetapi bagi kebanyakan anggota masyarakat tempatan, aspek itu mencabar kesabaran mereka.
Sejauh manakah politik propaganda mengancam politik perkhidmatan di Sarawak? Tidak keterlaluan jika dinyatakan, pembangkang tidak akan berhenti daripada membawa corak politik sedemikian ke negeri ini, apatah lagi menjelang pilihan raya negeri yang harus diadakan selewat-lewatnya Julai 2011.
Mampukah BN Sarawak mempertahankan politik perkhidmatan dan memastikan politik propaganda pembangkang tidak terus menular di negeri ini?
Mahu tidak mahu, barisan pemimpin BN Sarawak harus menanganinya kerana dalam dunia tanpa sempadan sekarang, penyaluran maklumat bukan hanya setakat oleh media massa, terutama media arus perdana, malah melalui kemajuan teknologi komunikasi maklumat (ICT) yang sama sekali tidak boleh dinafikan kemampuannya dalam menarik minat generasi muda.
Hal yang tidak kurang menarik diteliti sepanjang kempen pilihan raya berkenaan ialah ‘rezeki’ melimpah-ruah untuk penghuni etnik Iban di rumah panjang.
Kehadiran pemimpin BN bukan setakat untuk beramah mesra, malah membawa khabar gembira melalui peruntukan demi peruntukan bagi menjalankan kerja pembaikan rumah dan hal yang berkaitan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), adalah ‘rezeki’ untuk mereka.
Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika hadir di kebanyakan rumah panjang di Bawang Assan selepas menghabiskan antara satu hingga dua jam menaiki bot, menyifatkan kehadirannya menyebabkan Tuai Rumah berkenaan ‘sesak nafas’, pemimpin BN pula menyifatkan kehadiran mereka bukan untuk memancing undi.
Pemilikan tanah NCR adalah antara isu dijaja pembangkang sepanjang kempen pilihan raya dengan menuduh kerajaan negeri tidak mempedulikan nasib rakyat di pedalaman yang memerlukan tanah untuk memajukan pelbagai aktiviti pertanian dan penternakan.
Satu lagi hal yang menarik ialah masalah banjir yang membebani masyarakat di kawasan Parlimen Sibu sejak sekian lama, dileraikan secara perlahan-lahan apabila Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM1 bilion sebagai kos pelan pembangunan mengatasinya.
Biarlah aspek mengenai politik propaganda dan politik perkhidmatan itu diserahkan saja kepada pemimpin politik, sama ada BN atau pembangkang.
Yang jelas, pilihan raya kecil Parlimen Sibu, selain bertujuan meletakkan seorang pemimpin baru di peringkat Parlimen, secara langsung menyediakan peluang untuk anggota masyarakat pelbagai kaum dan etnik menikmati pembangunan yang walaupun sesetengahnya diumumkan secara agak drastik.
Pilihan raya kecil Sibu bukan setakat memberi sinar harapan baru kepada masyarakat berkenaan untuk menikmati kesan pembangunan negara, terutama bagi peruntukan yang sudah diumumkan, malah melihat dengan mata kepala sendiri projek berkenaan benar-benar dilaksanakan kerana ia adalah sebahagian daripada yang akan dinilai menjelang pilihan raya negeri dan umum akan datang.