Ekonomi

UDA maju projek di Sepang



Mohamad Sallihhudin bersama AGM Marketing UDA Holding Bhd, Nadia Nordin pada sidang media di tapak pembinaan masjid di Bandar Tun Hussein Onn, semalam. - Foto Salhani Ibrahim

Perbandaran dianggar RM100j di kawasan seluas 500 hektar

Kuala Lumpur: UDA Holdings Bhd menerusi anak syarikatnya UDA Land Sdn Bhd akan memajukan projek perbandaran keduanya seluas 500 hektar di Sepang.

Ketua Pegawai Operasi UDA Land, Mohamad Sallihhudin Barlin, berkata rundingan dan urusan berkaitan pembelian tanah bagi tapak projek itu sedang berlangsung dan dijangka dapat dimuktamadkan tahun depan.

Katanya, tapak projek perbandaran kedua yang dijangka dimulakan pembangunannya dalam tempoh tiga tahun lagi itu ialah di laluan menghala ke lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) daripada pusat bandaraya.

“Lokasi itu adalah antara beberapa yang kami tinjau untuk dimajukan sebagai satu lagi projek perbandaran. Fokus kami adalah mendapatkan tanah yang betul-betul strategik, mempunyai akses ke jalan utama serta kawasan yang mempunyai harga lebih rendah seperti kawasan pertanian.

“Pelaburan keseluruhan belum boleh dianggarkan. Namun bagi pembangunan awalnya kami mungkin akan melabur sekitar RM100 juta, dan jumlah itu tidak termasuk kos pengambilalihan ta-nah,” katanya kepada media selepas pengumuman pembangunan Masjid di Bandar Tun Hussien Onn, Cheras, semalam.

Tanggungjawab sosial

Masjid Bandar Tun Hussien Onn dengan kapasiti 1,700 jemaah itu dibangunkan dengan kos RM5.2 juta yang ditanggung sepenuhnya oleh UDA Holdings sebagai sebahagian daripada program tanggung jawab sosialnya.

Bandar Tun Hussien Onn adalah projek perbandaran pertama UDA Land wilayah tengah yang meliputi pembangunan bercampur di kawasan seluas 752 hektar. Nilai pembangunan kasar (GDV) projek perbandaran itu sejak dibangunkan pada awal 1990an sekitar RM120 juta setahun.

Sehingga kini, UDA Land sudah membangunkan lebih 5,000 unit kediaman di bandar itu dan masih mempunyai baki tanah seluas 130 hektar yang ma-sih belum dibangunkan.

Mohamad Sallihhudin berkata, rancangan memajukan satu lagi projek perbandaran itu adalah sejajar dengan sasaran syarikat itu untuk memajukan projek dengan GDV berjumlah RM2 bilion di seluruh negara menjelang 2016.

Katanya, sasaran itu akan dicapai menerusi pelancaran sekurang-kurangnya 1,000 unit rumah di seluruh negara setahun.

“Daripada jumlah itu, UDA Land wilayah tengah yang meliputi Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur, perlu menyumbang sekitar 20 hingga 30 peratus setiap tahun,” katanya.

“Kami yakin dapat mencapai sasaran ini dengan mempercepatkan pelancaran produk yang akan dibangunkan dan menumpukan kepada pembangunan hartanah mewah seperti yang akan dibangunkan di Fasa 4 Bandar Tun Hussein Onn tidak lama lagi,” katanya.