header

UMNO pertahan 'jodoh' DUN Tenang

Pemimpin, ahli biasa turun padang halang pengaruh PAS kuasai kubu kuat parti

SESIAPA yang mahu ke Labis dari arah Yong Peng pasti tidak terlepas melalui kawasan perkampungan bernama Desa Temu Jodoh, tidak jauh dari pekan Cha'ah. Sebenarnya di kampung itu tiada apa pun yang menarik, kecuali namanya yang cukup unik.

Dikisahkan, penempatan itu dibuka kira-kira 30 tahun lalu, bila sekumpulan anak muda berusia 18 hingga 24 tahun diberi peluang memulakan hidup baru. Itu inisiatif kerajaan yang berhemah, membenarkan hutan rimba diteroka untuk diubah wajah menjadi sebuah kawasan rancangan tanah. Ketika itu ekonomi negara tidaklah begitu kukuh, setiap peserta cuma diberikan elaun bulanan RM60. Elaun sejumlah itu hanya cukup untuk mengalas perut, lalu tinggallah semua peserta membujang, tidak langsung terlintas mencari pasangan hidup.

Dari setahun ke setahun begitulah kehidupan mereka, hanya tanah ladang menjadi peneman setia sebelum empat tahun kemudian mendapat berita gembira apabila kawasan berhampiran diwujudkan pula rancangan tanah baru khusus untuk wanita.

Bila peserta wanita tiba, bermulalah adegan saling mengenyit mata. Ramai yang berjaya mencari cinta, namun mahu bernikah duit pula tiada.

Kisah mereka sampai ke pengetahuan Menteri Besar Johor ketika itu, Datuk Othman Saad (Allahyarham Tan Sri) yang kemudian mencadangkan satu majlis perkahwinan besar-besaran diadakan dan ditanggung penuh oleh kerajaan.
Akhirnya, tercapai juga niat pasangan bercinta, tanggal 27 Februari 1977 berlangsung hari bahagia buat mereka. Pelamin besar didirikan di tengah padang, majlis kenduri penuh meriah apabila ramai tetamu datang.

Tetamu kehormat adalah Menteri Besar yang ketika memberi ucapan, melontar idea secara spontan. Katanya, kawasan itu sesuai dinamakan Desa Temu Jodoh yang kemudian diwartakan dan kekal sampai sekarang.

Selepas 20 minit memandu dari situ, tiba pula di pekan Labis. Ada satu tempat bernama Tenang, kawasannya aman dan memang menenangkan. Dulu mungkin hanya dikenali di kalangan penduduk Johor, sebulan dua ini nama Tenang kian tersohor.

Gara-gara pilihan raya kecil yang perlu diadakan, Tenang menjadi tumpuan semua golongan. Hari ini tiba hari penentuan, siapa wakil rakyat baru jadi pilihan untuk menggantikan penyandang yang kembali ke sisi Tuhan.

Secara tradisi, Tenang adalah kubu kuat UMNO. Secara tradisi juga seteru utama adalah PAS, yang sudah berkali-kali cuba merampas, namun jodoh Tenang dan UMNO begitu kuat dan tidak pernah terjejas.

Hari ini, ikatan itu akan diuji lagi. Sekitar jam 7 atau 8 malam nanti, akan diketahui siapa jadi pilihan 14,753 pengundi. Adakah BN melalui calonnya, Mohd Azahar Ibrahim terus berjaya menawan hati, atau Normala Sudirman mampu membuatkan bendera PAS dijulang tinggi.

Kedua-dua parti bertanding sudah melakukan yang terbaik sepanjang lapan hari berkempen, meredah banjir dan hujan lebat, meneroka kampung dan segenap ceruk tempat, melalui pahit manis bertemu masyarakat.

Bagi BN dan UMNO, keyakinan kerusi Tenang kekal dalam tangan tidak pernah lari. Harapan kali ini cuma mahu melihat pertambahan undi majoriti. PAS dan pakatannya pula tetap berjuang habis-habisan, sasaran sekadar mengurangkan undi majoriti seteru tradisi.

Segala yang berlaku di Tenang, isu yang dibangkitkan, harapan calon dan parti bertanding hampir semuanya sudah diceritakan media massa. Sejak hari penamaan calon Sabtu minggu lalu, nama Tenang tidak pernah dilupakan.

Menariknya pada pilihan raya kali ini, Tenang diuruskan sepenuhnya oleh UMNO Johor. Dengan 24 bahagian di seluruh negeri, ditambah pula dengan status sebagai kubu kuat parti, UMNO Johor sememangnya layak menguruskan sendiri.

Namun, ia tidak menghalang pemimpin dan ahli UMNO dari negeri lain turun padang membantu apa yang termampu. Hasrat mereka sama, mahu memastikan BN menjulang kejayaan dan menghalang pengaruh PAS daripada terus menular di negeri paling selatan.

Itulah juga niat seorang penyokong sejati UMNO dari Perlis, Abdul Rahim Hamid, 64, yang sanggup berkelana selama dua hari sejak semalam tiba di Labis.

“Saya bersama seorang rakan naik bas dari Perlis jam 10 pagi Khamis lalu, tiba di Kuala Lumpur kira-kira enam jam selepas itu, malamnya sambung pula naik kereta api ke Segamat dan tiba di sini Subuh keesokannya.

“Kami hanya berehat di stesen kereta api sebelum naik bas ke Labis dan sampai tengah malam. Tidur di stesen dan selepas hari cerah, nak cari hotel murah, tapi semua sudah penuh. Ada yang nak sewakan rumah, sampai RM300 pula.... Tengoklah nanti, pandai-pandailah kami jaga diri,” katanya.

Tenang bukanlah pilihan raya kecil pertama buat Abdul Rahim, malah sejak lebih 30 tahun lalu, beliau aktif turun ke mana-mana saja yang ada proses itu untuk membantu parti tanpa mengharapkan apa-apa untuk kepentingan peribadi.

“Cinta dan sayang saya kepada UMNO amat kuat. Sanggup tinggalkan isteri beberapa hari, pilihan raya kecil di tempat jauh dan dekat saya pergi kerana begitu sayangkan parti. Alhamdulillah, walaupun selalu kena tinggal, jodoh saya dan isteri masih kuat,” tambahnya lagi.

Sepanjang proses pengundian hari ini, Abdul Rahim dan rakannya akan membantu apa yang perlu sebelum pulang ke Perlis menemui isteri tercinta. Seperti kuatnya jodoh Abdul Rahim dengan isteri, jodoh Tenang dan UMNO diharap begitu juga.

SELEPAS memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang pada 30 Januari lalu, Mohd Azahar Ibrahim, hari ini mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang di Dewan Persidangan, Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di Nusajaya. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
Mar 17, 2011 2:17 pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meraikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Mohd Azahar Ibrahim dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Jan 31, 2011 2:08 am
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengangkat tangan bersama Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman dan Mohd Azahar Ibrahim selepas keputusan pilihan raya kecil DUN Tenang diumumkan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis. - Foto Zain Ahmed
Jan 31, 2011 2:06 am
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada Mohd Azahar Ibrahim selepas diumumkan sebagai ADUN Tenang di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis. - Foto Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Jan 31, 2011 1:59 am
MOHD Azahar Ibrahim dijulang selepas diisytihar pemenang pilihan raya kecil DUN Tenang di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Jan 31, 2011 2:23 am
MOHD Azahar Ibrahim diraikan penyokong dan ahli keluarga sejurus tiba di rumahnya di Jalan Tenang, Labis. - Foto Shahrul M Zain
Jan 31, 2011 2:34 am
MOHD Azahar Ibrahim bertemu neneknya, Esah Sulong, di rumah di Jalan Tenang, Labis, selepas diisytihar pemenang pilihan raya kecil DUN Tenang. - Foto Shahrul M Zain
Jan 31, 2011 2:40 am
TIMBALAN Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, menaiki trak tentera untuk ke Dewan Serbaguna Majlis Daerah Labis kerana laluan dari tempat penginapan mereka dinaiki air. - Foto Rosdan Wahid
Jan 31, 2011 2:34 am
KENDERAAN terperangkap dalam kesesakan akibat banjir di hadapan Balai Polis Tenang Station selepas hujan sepanjang hari. - Foto Sairien Nafis
Jan 31, 2011 2:37 am
ANGGOTA Pertahanan Awam dan tentera dari Kem Gemas membawa mangsa banjir berpindah selepas rumah mereka di Kampung Ladang Verra ditenggelami air ketika pilihan raya kecil DUN Tenang. - Foto Rosdan Wahid
Jan 31, 2011 2:54 am

Mohd Azahar Ibrahim ADUN Tenang

Pautan Berkaitan