Bukti BN praktik kebebasan bersuara
PUTRAJAYA: UMNO tidak akan menghalang ahlinya daripada terus menyuarakan pandangan dan kritikan berhubung isu National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang dikaitkan dengan ahli keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (kanan), berkata tindakan itu menggambarkan bahawa Barisan Nasional (BN) memang sentiasa menghidupkan amalan demokrasi dan kebebasan bersuara.
“Kita tidak akan menghalang sesiapa bercakap kerana UMNO bukan seperti pembangkang yang mendakwa memperjuangkan demokrasi dan kebebasan bersuara tetapi apabila nak bercakap mengenai hudud semua pemimpin membantah sehingga ulama pun tidak boleh berbuat demikian... tutup mulut.
“Dalam UMNO kita membenarkan ahli menyuarakan pandangan kepada pucuk pimpinan parti termasuk di Parlimen dan Perhimpunan Agung UMNO,” katanya ditanya mengenai desakan beberapa pemimpin UMNO termasuk Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin yang mahu Shahrizat meletak jawatan berikutan isu NFC.
Mohd Shafie berkata, Shahrizat tidak wajar didesak meletakkan jawatan kerana beliau tiada kena mengena dengan NFC.
“Kita tidak boleh menghalang orang UMNO diberi peluang (terus memegang jawatan atau bertanding) kerana isu membabitkan ahli keluarganya. Salah urus dana awam adalah perkara lain sekiranya ada. Ini adalah persoalan individu... adakah seseorang patut dipersalahkan kerana kesalahan dilakukan oleh suami atau isterinya.
“Jika itu persoalannya seperti orang lain cakaplah Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pun kena letak jawatanlah. Malah, kesalahan itu (NFC) tidaklah sebesar dilakukan pihak lain, jadi kenapa dia patut letak jawatan,” katanya.
Terdahulu, Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, mengumumkan kementerian akan memperuntukkan RM10.8 bilion untuk melaksanakan 549 projek dan program dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), pada tahun depan.
Katanya, ini termasuk lapan projek sambungan membabitkan peruntukan RM147 juta; 255 projek sedia ada RM2.2 bilion, manakala projek di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) membabitkan peruntukan RM8.24 bilion serta empat projek baru bernilai RM274.19 juta (membabitkan projek agropolitan dan infrastruktur luar bandar).