Ulul Albab: Jadi anak salih tanda syukuri pengorbanan ibu bapa BH Online

Ulul Albab: Jadi anak salih tanda syukuri pengorbanan ibu bapa

Oleh Abdurrahman Haqqi
2010/05/09

Rasulullah beri peringatan keras terhadap individu abai tanggungjawab kepada orang tua

ANDA mungkin tahu sebuah hadis Rasulullah SAW seperti yang diriwayatkan Imam al-Syafie dan Abu Daud bermaksud yang mana baginda pernah berkata kepada seseorang: “Kamu dan hartamu adalah milik ayahmu.”

Namun bagaimanakah jalur ceritanya sehingga baginda berkata demikian? Sungguh mengharukan. Mari kita lihat dalam hadis lain yang diriwayatkan Imam al-Tabrani dalam dua buah kitabnya al-Jami’ al-Saghir dan al-Ausath daripada Jabir ibn Abdullah.

Jabir meriwayatkan, seorang lelaki datang menemui Nabi SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ayahku ingin mengambil hartaku....” Dan perintah baginda: “Pergilah kamu membawa ayahmu ke sini.” Pada masa sama malaikat Jibril AS turun menyampaikan salam dan pesan Allah kepada baginda. Jibril berkata: “Wahai Muhammad, Allah Azza wa Jalla mengucapkan salam kepadamu, dan berpesan kepadamu, kalau orang tua itu datang, engkau harus menanyakan kepadanya apa-apa yang dikatakan dalam hatinya dan tidak didengar oleh telinganya.

Ketika orang tua itu tiba, maka Nabi pun bertanya kepadanya: “Mengapa anakmu mengadu mengenai kamu? Apakah benar engkau ingin mengambil wangnya?” Lelaki tua itu menjawab: “Tanyakan saja kepadanya, wahai Rasulullah, bukankah saya menafkahkan wang itu untuk beberapa orang ibu saudara sebelah ayahnya dan pihak ibunya, atau untuk keperluan saya sendiri?”

Rasulullah bersabda lagi: “Lupakanlah perkara itu. Sekarang ceritakan kepadaku apa yang engkau katakan di dalam hatimu dan tidak pernah didengar oleh telingamu!” Maka wajah kerepot lelaki itu tiba-tiba menjadi cerah dan nampak bahagia, dia berkata: “Demi Allah, wahai Rasulullah, dengan ini Allah SWT berkenan menambah kuat keimananku dengan kerasulanmu. Memang saya pernah menangisi nasib malangku dan telingaku tak pernah mendengarnya ...”

Nabi mendesak: “Katakanlah, aku ingin mendengarnya.” Orang tua itu berkata dengan sedih dan air mata yang berlinangan: “Saya mengatakan kepadanya kata-kata ini: “Aku mengasuh kamu sejak bayi dan memelihara kamu waktu muda. Semua hasil jerih perih kau minum dan kau teguk puas. Bila kau sakit pada malam hari, hatiku gundah dan gelisah, lantaran sakit dan deritamu, aku tak dapat tidur dan resah, bagai akulah yang sakit, bukan kau yang menderita. Lalu air mataku berlinang dan meluncur deras. Hatiku takut engkau disambar maut, padahal aku tahu ajal pasti akan datang. Setelah engkau dewasa, dan mencapai apa yang kau cita-citakan, kau balas aku dengan kekerasan, kekasaran dan kekejaman, seolah-olah kaulah pemberi kenikmatan dan keutamaan. Sayang..., kau tak mampu penuhi hak ayahmu, kau perlakukan aku seperti jiran jauhmu. Engkau selalu menyalahkan dan membentakku seolah kebenaran selalu berada pada dirimu, seakan-akan kesejukan bagi orang yang benar sudah dipasrahkan.”

Selanjutnya Jabir berkata: “Pada saat itu Nabi langsung memegang hujung baju pada leher anak itu seraya berkata: “Engkau dan hartamu milik ayahmu!”

Hak ibu bapa tidak pernah dipenuhi oleh anak mereka walau apa pun yang mereka lakukan apatah lagi hanya dengan meraikannya sehari dalam setahun. Allah SWT berfirman bermaksud: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya sudah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan demikian) bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah juga tempat kembali (untuk menerima balasan). (Surah Luqman: 14)

Sungguh agung hak ibu bapa kita sehingga ia disamakan dengan hak Allah SWT ke atas manusia yakni “bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu.” Apa yang menariknya lagi daripada ayat ini adalah peringatan mengenai kiamat selepas mengingatkan kita kepada hak orang tua iaitu kepada Allah SWT juga tempat kembali untuk menerima balasan.

Ini ditegaskan oleh baginda SAW dalam sebuah hadis bermaksud: “Rasulullah SAW ditanya mengenai peranan kedua-dua orang tua. Baginda lalu menjawab, “Mereka adalah (yang menyebabkan) syurgamu atau nerakamu.” (Hadis riwayat Ibnu Majah) Dengan pengertian kalau anak berbuat baik kepada mereka, dia masuk syurga dan kalau bersikap derhaka kepada mereka, dia masuk neraka.

Malah satu peringatan keras sudah disampaikan baginda dalam hadis lain bermaksud: “Jangan mengabaikan (membenci dan menjauhi) orang tuamu. Barang siapa mengabaikan orang tuanya maka dia kafir.” (Hadis riwayat Muslim) ‘Kafir’ dalam hadis ini bermakna kufur nikmat, bukan kufur akidah.

Pengertian syukur adalah mengucapkan terima kasih dan memperlakukan pemberian sesuai dengan fungsinya. Oleh itu, tanda terima kasih kita kepada orang tua kita mesti dibuktikan dengan tujuan mereka melahirkan kita untuk membimbing kita menjadi anak yang salih dan sentiasa berbuat baik kepada mereka sebagai mana tersirat dalam firman Allah dalam Surah Maryam, ayat 12 hingga 14.

Ada lima sifat anak yang mesti dipupuk menurut ayat-ayat ini yakni ilmu, salih (takwa), berbuat baik kepada ibu bapa dan tidak sombong serta derhaka. Menjiwai dan mengamalkan kelima-lima sifat ini adalah lebih mustahak daripada membawa kedua-dua ibu bapa kita ke hotel, restoran dan mana-mana tempat atau apa-apa cara keraian. Wallahu alam.