Pertumbuhan mapan itu disandarkan pada peningkatan sembilan peratus pendapatan kepada RM8.680 bilion daripada RM7.989 bilion sebelumnya.
Beliau berkata, untung bersih kumpulan bagi suku kewangan kedua berakhir 30 Jun 2012 berjumlah RM666.638 juta meningkat daripada RM663.051 juta suku sama tahun lalu.
Prestasi mantap
“Pendapatan pada suku dikaji mencerminkan peningkatan 9.3 peratus kepada RM4.424 bilion daripada RM4.048 bilion, berikutan prestasi keseluruhan menggalakkan daripada hampir semua syarikat operasi, khususnya Celcom, XL, Dialog dan Robi,” katanya pada taklimat di sini, semalam.
Jamaludin berkata, jumlah pelanggan mudah alih serantau mencatat pertambahan kukuh 22 peratus kepada 213 juta setakat akhir Jun lalu, menjadikannya satu daripada syarikat telekomunikasi terbesar di rantau ini.
Beliau berkata, India terus kekal memiliki jumlah pelanggan terbesar disusuli Indonesia dan Bangladesh. Penggunaan data tertinggi pula dicatatkan di Indonesia.
Axiata, katanya, membuka langkah dalam separuh tahun kedua 2012 dalam kedudukan mantap dengan memiliki tunai RM6.5 bilion.
Berikutan kedudukan tunai yang kukuh itu, Lembaga Pengarah Axiata mengisytiharkan dividen interim dikecualikan cukai lapan sen sesaham bagi tempoh tahun kewangan berakhir 31 Disember 2012, katanya.
“Axiata menikmati kejayaan menggalakkan pada separuh pertama dengan pertumbuhan teguh dalam semua metrik kewangan.
Pelanggan terbesar
“Melangkah ke separuh kedua tahun 2012, kami berbangga mengumumkan akan mencapai sasaran semua Indeks Prestasi Utama (KPI) untuk tahun ini,” katanya.
Sementara itu Ketua Pegawai Operasi, James Maclaurin, berkata faktor kerugian tukaran wang asing, khususnya di Indonesia dan Sri Lanka, memberi impak kepada kunci kira-kira Axiata untuk tempoh setengah tahun itu.
