Usahawan Bumiputera  sektor pembuatan ditambah Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Miti mahu tingkat syarikat peroleh pendapatan lebih RM25j

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti), menerusi Majlis Pembangunan Keusahawanan mulai tahun ini akan meningkatkan lagi usahanya menambah bilangan usahawan Bumiputera dalam sektor pembuatan.

Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata keputusan itu dicapai pada mesyuarat pertama majlis itu semalam.
Beliau berkata, bilangan usahawan Bumiputera yang terbabit dalam sektor pembuatan dengan pendapatan tahunan lebih RM25 juta ketika ini hanya merangkumi tiga peratus daripada jumlah keseluruhan syarikat yang bergiat dalam sektor itu.


Katanya, daripada jumlah itu, majoritinya hanya terbabit dalam perusahaan tradisi menghasilkan makanan dan minuman yang memberikan pendapatan tahunan yang rendah.

“Ia adalah sesuatu yang membimbangkan memandangkan hampir semua usahawan Bumiputera masih bertumpu dalam perusahaan tradisi menghasilkan makanan dan minuman.

“Malah mereka juga masih belum ‘lulus’ daripada bidang penghasilan produk tradisi seperti keropok, kerepek dan batik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Pembangunan Keusahawanan di Putrajaya semalam.

Mustapa berkata, ketika ini bilangan usahawan Bumiputera dalam sektor pembuatan paling tinggi ialah di Terengganu dan Kelantan, dua negeri yang bukan menjadi pusat pembuatan utama di Malaysia seperti di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor.
“Ia memberikan gambaran pembabitan syarikat Bumiputera bidang pembuatan masih kecil dan hanya bertumpu dalam bidang makanan dan minuman,” katanya.

Beliau berkata, tumpuan membangunkan usahawan Bumiputera dalam pembuatan itu juga akan membabitkan Sabah dan Sarawak.

“Jika dilihat usahawan Bumiputera di Sabah dan Sarawak, mereka jauh ketinggalan dibandingkan dengan rakan mereka di Semenanjung. Justeru, tumpuan juga akan diberikan kepada Bumiputera di kedua-dua negeri itu,” katanya.

Mustapa berkata, pada mesyuarat semalam, majlis itu turut membincangkan agensi kerajaan yang mana akan menerajui semua program pembangunan keusahawan bagi mengurangkan pertindihan kerja dengan jabatan lain.

Beliau berkata, meskipun fungsi itu ketika ini dikendalikan Miti, tetapi pengiktirafannya sebagai peneraju semua program pembangunan keusahawanan masih kurang mantap.

“Ia penting bagi mengurangkan pertindihan kerja selain bagi memantapkan usaha mewujudkan satu pangkalan data keusahawanan yang lebih kemas,” katanya.

Beliau menegaskan, bagi meningkatkan lagi kemajuan bidang keusahawanan di negara ini, usaha juga akan dilakukan bagi memastikan universiti tempatan menyediakan kursus keusahawanan lebih mantap.