Soi Lek membentangkan fakta ketika debat DAP dan MCA di Petaling Jaya, semalam.
Katanya, perbuatan itu tidak adil kerana isu itu tidak ada kena mengena dengan orang lain termasuk beliau dan isterinya, Datin Seri Wong Sek Hin.
Beliau mengulas mengenai laporan akhbar berbahasa Mandarin yang menyebut isteri Guan Eng, Betty Chew Gek Cheng meminta Sek Hin menasihati Dr Chua supaya mengarahkan pemimpin MCA berhenti daripada menyalah guna sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk membangkitkan dakwaan skandal Guan Eng.
Dr Chua berkata, pertanyaan Ahli DUN Duyung, Datuk Gan Tiang Loo pada sidang DUN Melaka Selasa lalu hanya soalan biasa yang boleh ditamatkan dengan jawapan ringkas ‘ya atau tidak’.
“Kalau tak ada, cuma bangun dan nafikan, isu akan berakhir di situ,” katanya.
Ditanya mengenai gesaan Guan Eng supaya beliau memohon maaf kepada Gek Cheng berhubung kenyataan Tiang Loo itu, Dr Chua berkata: "Mengapa saya harus minta maaf? Yang patut menjawab adalah beliau dan Betty, bukan saya.
"Yang memanjangkan isu ini bukan kami (MCA) tetapi Guan Eng dan juga Betty," katanya.
Guan Eng dalam sidang media berasingan berkata, Dr Chua wajar minta maaf kepada beliau dan isteri serta seluruh wanita di atas perbuatan Tiang Loo ‘melontarkan tohmahan tentang isu itu semasa persidangan DUN dan telah menjatuhkan maruah wanita.
Selain itu, DAP tidak memanfaatkan sesi perdebatan untuk menjelaskan dasar parti kepada rakyat, sebaliknya bertukar menjadi platform memburukkan imej MCA dan kerajaan.
Peluang diberikan oleh moderator yang juga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif ASLI, Tan Sri Dr Michael Yeoh hanya di gunakan untuk mempersoalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tidak berani berdebat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.