Usah terpedaya: Loew LOEW bersama pemainnya menunggang basikal pada sesi latihan luar padang di Gdansk, Poland, kelmarin.
‘Sepanyol bertaraf dunia, calon pilihan juara kali ini’

GDANSK: Pengendali Jerman, Joachim Loew menegaskan juara bertahan, Sepanyol kekal menjadi pilihan memenangi Euro 2012 ketika Jerman bersiap menentang Greece dalam suku akhir, awal pagi esok.
Jerman – yang tewas kepada Sepanyol pada final 2008 – menjadi satu-satunya pasukan mengekalkan rekod 100 peratus dengan mencatat tiga kemenangan dalam Kumpulan B selepas merakam 10 kemenangan daripada 10 perlawanan kempen kelayakan sebelum pusingan akhir.


Selepas membelasah Ireland 4-0 dan seri 1-1 menentang Itali dalam Kumpulan C, juara dunia, Sepanyol menamatkan saingan di tangga teratas dengan kemenangan 1-0 mengatasi Croatia, Isnin lalu tetapi memerlukan gol lewat pada minit ke-88 menerusi Jesus Navas mencatat kemenangan.

Barisan Vicente del Bosque akan menentang Perancis di Kiev awal pagi Sabtu, sementara Jerman membuat perhitungan menentang Greece di Gdansk awal pagi esok, tetapi Loew berkata dia tidak terpedaya dengan prestasi La Roja yang beraksi di bawah kemampuan sebenar.

“Saya sudah menyaksikan Sepanyol beraksi dua kali dan mereka jelas bertaraf dunia dengan kombinasi yang mereka miliki,” kata jurulatih Jerman berusia 52 tahun itu dengan Jerman dan Sepanyol hanya boleh bertemu di final 1 Julai selepas kedua-duanya tidak berada dalam undian sama.

“Mereka baru saja mengalami nasib sama dengan beberapa pasukan lain di sini, dengan anda bertemu pasukan yang bertahan dengan baik dan cuba mengganggu rentak anda. Namun, Sepanyol masih mampu membuktikan mereka berjaya melakukan gerakan menarik untuk menjaringkan gol.
“Mereka mempunyai pemain hebat seperti (pemain tengah Andres) Iniesta, adalah produk budaya bola sepak yang hebat. Sepanyol sentiasa dan kekal untuk menjadi pilihan memenangi kejohanan ini.” – AFP