Veteran tentera mula terima RM1,000 Jumaat

Veteran tentera mula terima RM1,000 Jumaat

Oleh Nurhasyima Hasim
2013/01/09

Melaka Tengah: Seramai 3,000 pesara tentera tidak berpencen bakal menerima bayaran bantuan kewangan RM1,000, Jumaat ini.

Presiden Persatuan Veteran Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVTTBM), Mohd Sabri Abd Malek, berkata pembayaran hanya sekali itu akan disampaikan di Bagan Datoh, Hutan Melintang, Perak.

Katanya, penyampaian peringkat pertama itu dijangka disempurnakan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Mereka yang bakal memperoleh bantuan kewangan itu veteran tentera tidak berpencen dan sudah mengemukakan butir diri. Kebanyakan penerima bagi fasa ini menetap di sekitar Perak.

Selepas ini, pemberian bagi fasa seterusnya akan diperluaskan di lokasi seluruh negara bermula 13 Januari ini, katanya kepada BH, di sini, semalam.

Pemberian hanya sekali sebanyak RM1,000 kepada veteran tentera tidak berpencen itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam pembentangan Bajet 2013 pada Oktober lalu.

Sabri berkata, sehingga kini ada kira-kira 240,000 veteran tentera tidak berpencen di seluruh negara.

Katanya, dianggarkan 180,000 daripadanya masih belum mendaftar untuk bantuan terbabit.

Inisiatif kerajaan ini perlu direbut oleh golongan berkenaan kerana wang yang diterima berupaya membawa manfaat, khususnya dalam meringankan beban belanja bekas tentera yang tidak mempunyai pendapatan.

Justeru, kita berharap mereka yang belum memohon untuk mendapatkan bantuan kewangan ini supaya berbuat demikian pada majlis berkenaan atau menghubungi pejabat PVTTBM di talian 06-6015979 atau 06-6015980 atau 019-3187898, katanya.

Sabri berkata, pemohon perlu berdaftar dengan PVTTBM bagi memperoleh pelbagai faedah terutama dalam mengembangkan potensi menjana sumber pendapatan, termasuk menerusi keahlian koperasi dan kursus keusahawanan.

Katanya, pelbagai program dan kursus percuma diberikan kepada ahli persatuan berdaftar sejajar matlamat persatuan.