Sukan

Vilanova mula tunjuk kehebatan kendali Barca



Barcelona: Tito Vilanova ternyata jurulatih ideal untuk menggantikan Pep Guardiola selepas skuad bimbingannya, Barcelona tunjuk taring membaham Real Sociedad 5-1 tatkala juara bertahan, Real Madrid sekadar seri 1-1 dengan Valencia pada aksi sulung Liga Sepanyol, awal pagi semalam.

Barcelona di bawah kendalian Vilanova kekal beraksi dengan persembahan sama mantap seperti musim sebelum ini dengan Lionel Messi meledak dua gol pada minit ke-11 dan 16.

Tiga lagi gol Barcelona pada aksi di Nou Camp itu dijaringkan Carles Puyol (4), Pedro (41) dan penyerang yang baru kembali selepas kecederaan panjang, David Villa (84). Gol tunggal pelawat dijaringkan Gonzalo Castro (9).

Adalah penting untuk memulakan musim dengan cara sebegini. Saya lihat pemain masih laparkan kemenangan. Kami sentiasa cuba untuk menekan lawan di atas padang dan kami percaya inilah yang semua mahu lihat, kata Vilanova.

Sementara itu, di Santiago Bernabeu, jaringan pembukaan Real menerusi Gonzalo Higuain seawal minit ke-10 berjaya disamakan Valencia hasil jaringan Jonas pada minit ke-42.

Kami tidak beraksi begitu baik tetapi kami sudah melakukan yang terbaik untuk mendapatkan kemenangan, kata jurulatih pasukan, Jose Mourinho.

Agensi