Vokal Janice unik Kumpulan Janice & The Supertank
Bergabung dengan The Supertank pertaruhkan lagu Kau Di Mindaku

MEMILIH vokalis wanita seolah menjadi kebiasaan dalam kebanyakan kumpulan muzik kerana mereka juga dianggap mampu menarik minat dan memancing penggemar atau peminat.
Sekadar menyebut beberapa nama, selepas Tilu dan Couple, sebuah kumpulan baru yang mengenengahkan muzik indie turut mengambil vokalis wanita yang boleh dianggap penyeri dalam kumpulan mereka.


Memang tepat Janice Yap, 32, dipilih sebagai vokalis kumpulan ini kerana selain penampilan menarik, cantik dan seksi. Wanita keturunan cina ini juga mempunyai pengalaman luas dalam muzik, yang turut bertugas sebagai guru vokal dan mahir mencipta lagu berkualiti tinggi.

"Dahulu saya agak kurang fasih berbahasa Melayu, tetapi apabila selalu menyanyikannya, membuatkan saya lebih yakin dan mula tertarik untuk menghasilkan lagu dan menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Melayu. Lagipun, peminat akan lebih mengenali saya dan band ini jika menyanyikan lagu berbahasa Melayu," ujar Janice lancar semasa ditemui Hip baru-baru ini.

Menggelarkan diri mereka sebagai Janice and The Supertank, pasti ramai yang sukar menyebutnya kerana nama band ini agak panjang dan sedikit pelik.

Menceritakan latar belakang bagaimana mereka mendapat ilham menggunakan nama berkenaan, pemain gitar kumpulan ini yang mahu dikenali sebagai, Amir berkata, The Supertank adalah nama asal yang bermula sekadar suka-suka dan hanya berkumpul untuk jamming jika ada kelapangan.
“Lama kelamaan, Ramizu menyatakan hasratnya untuk menghasilkan kumpulan indie yang bergerak secara komersial. Selepas itu, kami mula mencari vokalis baru dan memilih Janice menyertai kami. Sebab itulah, kami menggabungkan nama Janice dan kini kami dikenali dengan Janice and The Supertank," katanya ketika ditemubual Hip di Balai Berita.

Kumpulan indie ini mula menapak dalam bidang hiburan sejak Jun tahun lalu. Bertitik tolak daripada penyertaan mereka dalam pertandingan Battle of The Band @ Youth Festival 2010, kehadiran kumpulan ini dalam arena muzik mula dirasai.

Walaupun tidak menjuarai pertandingan itu, tetapi diberi penghargaan sebagai 10 band terbaik daripada 100 band yang bertanding adalah antara pencapaian terbaik mereka untuk terus dikenali peminat hiburan.

Kumpulan yang menampilkan lagu dalam pelbagai rentak dan komposisi seperti rock, pop, R&B, Dance serta Jazz ini percaya akan keunikan yang ada pada mereka dan mampu mendapat perhatian penggemar muzik tempatan.

"Selain mengenengahkan lagu daripada pelbagai genre muzik, suara Janice juga unik dan sering memberikan persembahan penuh karakter dan gila-gila ketika beraksi di pentas,” kata Amir.

Selain Janice dan Amir, kumpulan ini turut disertai Ramizu, sebagai pemain dram, kini giat mempromosikan single pertama mereka berjudul Kau Di Mindaku. Lagu itu yang mula mendapat tempat di stesen radio turut tercalon dalam program carta muzik popular, Muzik Muzik.

"Setakat ini, peminat menyukai dan memberikan ulasan positif terhadap single ini. Malah, kami sedang giat melakukan rangka promosi bagi tujuan memperkenalkan band kami.

"Antara kelainan dalam kaedah promosi kami ialah peminat boleh memuat turun lagu-lagu kami secara percuma melalui jaringan facebook Janice and The Supertank," kata Ramizu pula dengan bersemangat.

Diajukan berkenaan kemungkinan akan menambah ahli, mereka menjelaskan selesa dengan keadaan sekarang. Ditambah pula masing-masing mempunyai kerjaya tetap, agak susah untuk bergerak dengan ahli yang ramai.

"Bimbang kalau salah seorang daripada kami dapat hadir ke sesuatu majlis, kami akan dianggap tidak berdisiplin. Bagi kami, yang paling mustahak kualiti dan cara kami persembahkan karya kami kepada peminat," jelas Ramizu lagi.

Peminat yang masih tidak mengenali muzik mereka, boleh menilai sendiri kehebatan dan bakat pemuzik muda ini melalui laman sesawang facebook mereka di http://www.facebook.com/janiceandthesupertank.