Wanita didakwa bunuh anak tiri Azlinda dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Kota Bharu selepas dituduh bunuh anak tiri.
Kota Bharu: Seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret di sini semalam, atas tuduhan membunuh anak tirinya berusia lima tahun di Kampung Jubakar Pantai, Tumpat, bulan lalu.

Azlinda Othman, 28, didakwa membunuh Umi Amilia Azman, 5, di kawasan Perumahan Kos Rendah, Kampung Jubakar Pantai, Tumpat antara jam 3 petang hingga 8.56 pagi, 23 Mac hingga 24 Mac lalu.
Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati mandatori.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamed, manakala tertuduh diwakili Peguam K H Tay.

8 Mei sebutan semula kes

Majistret Mohd Isa Mohamed menetapkan 8 Mei depan bagi sebutan semula kes untuk laporan perubatan mangsa.

Sebelum ini, akhbar melaporkan seorang kanak-kanak perempuan mati dipercayai didera ibu tirinya.
Punca kematian terbongkar apabila mangsa yang dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) meninggal dunia di hospital berkenaan dan hasil bedah siasat mendapati Umi Amilia mengalami dua kesan pecah pada usus besar selain kecederaan pada buah pinggang kirinya.