KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga Pakistan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menyebabkan kematian seorang pelajar perempuan di Kota Marudu, bulan lalu.

Amir Ali khan Nawaty, 40, didakwa menyebabkan kematian Norikoh Saliwa, 16, dalam lori di Kilometer 2.8, Jalan Kota Marudu-Langkon pada 25 November lalu antara 11 pagi dan 12.30 tengah hari.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Hakim Duncan Sikodol kemudiannya menolak permohonan tertuduh untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu sebutan semula kes itu yang ditetapkan pada 14 Januari depan.

Sebelum itu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya dibebaskan dengan ikan jamin atas alasan beliau berkahwin dengan seorang wanita tempatan dan mempunyai dua orang anak.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin membantah permohonan itu berdasarkan beberapa faktor termasuk kes itu serius yang membabitkan kepentingan umum, keselamatan tertuduh dan kebarangkalian melarikan diri kerana tertuduh bukan warganegara Malaysia.

Beliau turut memohon perintah mahkamah supaya pasport antarabangsa tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Kes kematian Norikoh, berasal dari Kampung Bombong 1, Kota Marudu, yang ditemui mati terbaring di tepi jalan Kota Marudu-Langkon pada 25 November lalu itu menggemparkan banyak pihak termasuk pemimpin negeri dan pemimpin parti politik tempatan sehingga menimbulkan pelbagai kontroversi.

- BERNAMA