CALON BN, Ab Aziz Yusoff mendengar keluhan Zainab ketika berkempen di Kampung Kerinting dekat Gua Musang, semalam.
GUA MUSANG: "Mok Da akan tolong oghe (orang) hok (yang) tolong Mok Da," kata seorang nenek berusia 73 tahun dalam loghat Kelantan yang pekat kepada calon Barisan Nasional (BN), Ab Aziz Yusoff ketika dikunjungi di rumahnya di Kampung Kerinting, di sini semalam.
Zainab Ibrahim, antara penduduk awal kampung itu dan dalam tempoh berkenaan mendakwa tidak pernah dikunjungi wakil rakyat PAS, termasuk bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.
Menurut Zainab, beliau tidak mengenali wakil rakyat kawasan itu tetapi amat mengenali Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang banyak berjasa dan berbakti kepada penduduk.
Beliau yang berhijrah ke kampung itu bersama bapa saudaranya lebih 50 tahun lalu membuka kawasan penempatan berkenaan dan menjalankan pelbagai kegiatan pertanian termasuk mengusahakan kebun getah.
"Mok Da doh (sudah) tua, tak dok gapo doh hok (tak ada apa-apa dah yang) Mok Da nok fikir, Mok Da nak ibadat je... kalau ada oghe tolong, Mok Da akan tolong oghe tu.
"Oghe (orang) PAS sebelum ni tok pernoh (tak pernah) jenguk kami, tanyo masalah kami," katanya ketika ditanya parti mana yang akan jadi pilihannya pada pilihan raya kecil 4 November ini.
Kunjungan Ab Aziz turut disertai Skuad Sayang Wanita UMNO, diketuai Ketua Wanita UMNO Cawangan Kampung Kerinting, Kamariah Yaakob yang kemudian menyerahkan sumbangan makanan kepada Zainab yang kini tinggal bersama seorang anak, menantu dan dua cucu.
Sementara itu, Kamariah berkata, lebih 70 peratus rumah di Kampung Kerinting didirikan di kawasan setinggan dan berharap dapat diselesaikan jika 4,620 pengundi kampung itu memilih calon BN mewakili mereka dan membela masyarakat, terutama bagi menyelesaikan masalah status tanah.
"Sudah sampai masanya pengundi kampung membuat perubahan bagi mengelakkan mereka terus terpinggir," katanya.