Wartawan   Harian Metro  meninggal
Kuala Lumpur: Wartawan Ekonomi Harian Metro, Nazrul Azim Sharuddin (gambar), 28, meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), semalam.

Allahyarham disahkan meninggal dunia pada jam 5.59 petang di Unit Rawatan Rapi (ICU) PPUM selepas dipindahkan dari Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC), Shah Alam kerana tidak sedarkan diri.
Pengarang Ekonomi/Teknologi Maklumat Harian Metro, Husain Jahit, berkata Nazrul Azim dimasukkan ke DEMC Sabtu lalu selepas mengadu sakit di bahagian dada.

Arwah dilaporkan sakit sejak lebih seminggu lalu dan dimasukkan ke hospital di Shah Alam sebelum dipindahkan ke ICU PPUM kelmarin selepas tidak sedarkan diri.

“Ahli keluarga ada di sisi ketika arwah menghembuskan nafas terakhir dan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Kebun, Klang, Selangor kira-kira jam 10 pagi esok (hari ini),” katanya.