Laman Utama » Sarawak
Willie dakwa isu NCR punca tewas
LAWAS: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Ba'kelalan, Willie Liau yang tewas kepada Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak, Baru Bian mendakwa beliau tewas disebabkan penggunaan isu tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dan kitab Injil yang dicetak dalam bahasa Melayu.
Willie yang ditemui pada pengumuman keputusan pilihan raya kawasan berkenaan di Majlis Daerah Lawas, di sini malam tadi, berkata pembangkang menggunakan kedua-dua isu itu secara meluas tetapi gagal ditangkis jentera BN.
"Kami agak terlewat untuk menangkis serangan itu. Bagaimanapun, saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengundi yang memberikan kepercayaan kepada saya," katanya.
Pengumuman itu dibuat Pengurus Pilihan Raya kerusi N70, Aldin Atok pada jam 7.30 malam tadi.
Baru memperoleh 2,505 undi berbanding Willie (2,032 undi) manakala undi ditolak (37), jumlah keseluruhan undi (4,585), majoriti undi (473) dan peratus mengundi (65.9 peratus).
Pada pilihan raya negeri 2006, Baru tewas kepada calon BN, Nelson Balang Ringin dengan kekurangan 475 undi.