Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana peniaga dan makhluk hidup lain di dunia turut memerlukan ekologi alam sekitar yang hijau dalam kehidupan mereka.
“Saya percaya Persidangan Tahunan Persatuan Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) 2012 ini akan menjadi landasan penting untuk berbincang dan mengenal pasti langkah khusus berdaya maju dan berkesan untuk menjaga alam semula jadi.
“Cadangan itu akan menjadi panduan berguna kepada mereka yang berkepentingan dalam industri ini untuk membuat rujukan atau melaksanakannya di peringkat masing-masing,” katanya ketika merasmikan PATA 2012 di sini, semalam.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen dan Pengerusi PATA, Hiran Cooray.
Persidangan tahunan dua hari yang dihadiri lebih 500 delegasi dari 30 negara bertema Membina Perniagaan di Luar Keuntungan itu menetapkan fokus terhadap tanggungjawab sosial korporat dalam industri pelancongan.
Pada majlis itu juga, Yen Yen menerima Anugerah Ahli PATA Seumur Hidup bagi mengiktiraf sumbangan dan pencapaian cemerlang terhadap industri pelancongan negara dan antarabangsa.
Muhyiddin turut menggesa anggota PATA bertukar maklumat dan mengambil inisiatif dalam menangani impak perubahan iklim terhadap tempat semula jadi, perniagaan dan aktiviti pelancongan.
