Kuala Lumpur: Yunus Lasaleh - seorang daripada kuartet 4X400 yang disahkan positif doping di Sukan SEA, Jakarta tahun lalu akhirnya dikenakan penggantungan dua tahun oleh Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

Yunus antara 37 atlit dari seluruh dunia yang dikenakan hukuman gantung seperti dalam senarai dikeluarkan oleh Jabatan Anti-Doping dan Perubatan IAAF bertarikh 24 Ogos pada laman web IAAF.
Namun, tiga lagi rakannya, Sehzuan Ahmad Rosely, P Yuvaraaj dan S Kannathasan terlepas daripada dikenakan sebarang hukuman tetapi seperti yang sudah diputuskan mereka diarahkan memulangkan semula pingat emas yang dimenangi.



Kemuka rayuan

Sebelum ini, Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) bagi mendengar kes Yunus mencadangkan kepada IAAF supaya pelari berusia 23 tahun itu dikenakan hukuman gantung dua tahun.

Namun, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim ketika mempengerusikan mesyuarat Kejurulatihan KOM 19 Julai lalu menegaskan badan induk itu akan membela Yunus dengan mengemukakan rayuan kepada IAAF bagi meringankan hukuman ke atas atlit kelahiran Sabah itu.

Selain Yunus, atlit angkat berat, Firdaus Abdul Razak yang memenangi gangsa pada temasya itu turut didapati positif.
Bagaimanapun, keputusan hukuman ke atas atlit angkat berat itu belum diketahui tetapi kemungkinan berdepan hukuman lebih berat iaitu gantung selama empat tahun mengikut hukuman baru yang ditetapkan Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF).