Zizan, Fara bikin gempar
Pada usia menginjak 26 tahun, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) terus relevan kerana tampil dengan idea segar pada malam kemuncak yang bakal menggegar Stadium Putra, Bukit Jalil pada 7 April depan.

Seperti lazimnya, gandingan hos sentiasa ditunggu-tunggu peminat kerana mereka dianggap ‘rencah utama’ menghidupkan acara. Kali ini, BH selaku penganjur memantapkan paksi ABPBH 2012 melalui pemilihan Zizan Razak bersama Fara Fauzana sebagai pengacara acara berprestij ini.
Biarpun sudah dua kali berdiri di pentas gah ABPBH, Zizan yang juga finalis Artis Komedi dan Pelakon Filem itu mengakui perlu banyak membuat kajian supaya apa yang dikongsi di pentas adalah maklumat terkini dunia hiburan.

“Memang pengalaman lalu mematangkan saya apatah lagi saya ditemani hos dan penyampai radio yang saya kagumi. Tetapi dalam acara besar yang hanya diadakan setahun sekali, saya perlu rajin berikutan dunia hiburan berputar dengan lebih deras.

“Andai sebelum ini, kita dikejutkan dengan fenomena Gangnam Style, sekarang sudah ada Harlem Style. Jadi apa yang kita sampaikan atau perkatakan di pentas perlu segar dan tidak ketinggalan dengan perkembangan semasa,” katanya yang terharudiberi kepercayaan buat kali ketiga oleh penganjur untuk mengendalikan ABPBH.

Mengakui tidak mampu menyembunyikan debaran untuk beraksi di Stadium Putra, tumpuannya sekarang terarah kepada persediaan menjadi pengacara, bukannya pulang membawa trofi.

“Apabila mendapat mandat sekali lagi, sudah tentu saya mahu buat sehabis baik. Bohong kalau saya katakan tidak berdebar. Majlis ini akan dipancarkan secara langsung dan saban tahun, lebih empat juta orang menontonnya.
“Jadi, lebih baik saya membuat persediaan rapi daripada memikirkan sama ada mampu membawa pulang trofi. Memang nama saya dicalonkan untuk dua kategori, tetapi rasanya tidak perlu menaruh sebarang harapan, biarlah peminat yang menentukannya,” katanya.

Bagi Fara yang pernah mengacarakan banyak majlis besar termasuk Anugerah Skrin serta Juara Lagu, pelawaan penganjur yang menggandingkannya dengan Zizan dianggap cabaran besar.

“Setiap anugerah berbeza perasaannya begitu juga ABPBH. Kalau Anugerah Skrin, ia membabitkan ramai penggiat industri penyiaran, televisyen dan filem. Manakala AJL menjurus kepada penghormatan karyawan muzik.

“Menerusi ABPBH, anugerah ini menggabungkan semua penggiat seni yang secara tidak langsung impaknya lebih besar, begitu juga persediaan yang perlu dilakukan nanti,” katanya yang serasi bekerjasama dengan Zizan sejak mereka mengendalikan program Melodi, suatu masa dulu.

Fara berkata, dia melihat Zizan sebagai individu yang berbakat besar malah lincah di pentas dengan jenaka spontan. Zizan juga kata Fara, peka terhadap isu sekeliling hingga menjadikan mereka cukup serasi.

“Walaupun tidak sampai setahun kami bersama dalam program Melodi, kami sudah serasi. Andai dia spontan, kehadiran saya boleh dianggap mengimbangkan suasana.

“Cuma walaupun teruja sebaik diajukan tawaran, saya perlu mendapatkan nasihat daripada pengurusan Hot FM. Ini berikutan komitmen terhadap tugasan di konti. Nampaknya, mereka memberi sokongan penuh,” katanya yang menyangka tawaran wakil penganjur itu pada mulanya disangka panggilan hangit teman setugas.

Sejajar kematangan ABPBH 2012, selain kejutan lokasi baru malam kemuncak di Stadium Putra dan siri jelajah yang menakluk Sarawak dan Sabah, barisan penyampai juga menyenaraikan generasi pelapis industri seni. Antara artis tersenarai adalah Aaron Aziz; Anzalna Nasir; Dazrin; Fizo Omar; Fizz Fairuz dan Johan As’ari.

Turut menjadi penyampai pada malam gemilang itu kelak ialah Lisa Surihani; Nabila Huda; Nadiya Nisaa; Nazim Othman; Neelofa; Nubhan dan Nur Fathia. Tidak terkecuali, Rozita Che Wan, Shah Iskandar, Tasha Shila dan Tomok.

Pembaharuan juga dapat dilihat dengan pembabitan pengacara undangan seperti Awi Rafael; Azlee Khairi; Forteen; Hairul Azreen; Hanez Suraya; Iqram Dinzly; Kamal Adli serta Nelyda Senrose.

Bagaimana corak pengendalian segmen mereka, nantikan saja malam kemuncak. Selain itu, Didie Alias dan Along Cham pula akan bertindak sebagai pengendali acara permaidani merah.

Pentas ABPBH 2012 juga seimbang dengan gandingan artis lama dan baru bagi segmen persembahan. Artis yang terpilih antaranya Datuk M Nasir; Datuk AC Mizal; Ziana Zain; Adira; Ainan Tasneem; Ally Noor; Mastura dan Amir Ukays. Turut membuat persembahan Asmidar; Ayai Ilusi; Bagio; Black; Ella; Fida; Jay Jay; Kilafairy; Liawanis; Marsha; Najwa Latif dan Projek Pistol.

Artis lain termasuk RJ; Salammusik; Sleeq; Stacy; Stella Band; Syam Kamarul; Zarul Umbrella dan One Nation Emcees.

Sementara itu, borang pencalonan masih diterbitkan menerusi BH dan BH Ahad hingga 13 Mac ini dengan tarikh akhir penerimaan pada 18 Mac. Manakala undian melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dibuka hingga 26 Mac.

ABPBH 2012 direalisasikan dengan kerjasama Habib Jewels Sdn Bhd; Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd; Holiday Villa Subang & Suites Subang; AVON Cosmetics (M) Sdn Bhd); Boutique Dewi Sofea Sdn Bhd; Star Cruise Travel Sdn Bhd; Empayan Holding Sdn Bhd; AirAsia Berhad serta Perbadanan Stadium (M) Sdn Bhd selain TV3 dan Hot FM sebagai penyiar rasmi.