Zizan kecewa
Riak wajah Zizan Razak tampak berubah sebaik saja nama Shaheizy Sam diumumkan sebagai Bintang Paling Popular pada malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2012, Ahad lalu.

Pelakon komedi itu kelihatan seperti tidak mampu menyembunyikan kekecewaan.
Hakikat itu diakui empunya badan ketika ditemui pada majlis keraian selepas ABPBH 2012, yang turut berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil. Zizan tidak menafikan dia menaruh harapan membawa pulang anugerah utama yang menjadi rebutan ramai itu, namun reda menerima keputusan majoriti.


“Saya mengaku agak terkilan ketika membaca nama Sam yang tertulis di kad keputusan. Waktu itu saya terdiam seketika. Namun, sebagai pengacara yang dipertanggungjawabkan mengendalikan majlis pengiktirafan ini, saya tetap menjalankan tugas sebaik mungkin.

“Apa pun, semua ini berbalik kepada rezeki, malah sebagai anak seni, saya tetap akan berlakon, berlawak dan mengacara. Sebagai insan, saya melihat semua ini dalam segala aspek terutama yang positif. Ia mendorong saya bekerja dengan lebih baik lagi pada masa depan,

“Cuma, saya risaukan peminat. Saya takut mereka berkecil hati dengan kekalahan ini, apatah lagi selepas mereka bersusah payah mengundi. Saya mahu peminat jangan bimbang atau berkecil hati kerana perjuangan masih perlu diteruskan.

“Saya juga berniat ingin adakan perjumpaan sebagai tanda penghargaan terhadap usaha mereka. Walaupun tidak terbabit dalam sesi pengundian, saya ada menjenguk ketika mereka beramai-ramai membuat undian,” katanya.
Berkat doa keluarga, keikhlasan peminat

Begitupun, Zizan yang berpasangan dengan Johan dan Fara Fauzana sebagai pengacara ABPBH 2012 tidak pulang tangan kosong, sebaliknya dipilih peminat sebagai Pelakon Komedi Lelaki Popular. Dia pernah memenangi trofi sama dua tahun lalu, sebelum dirampas teman baiknya itu pada edisi lalu.

“Saya tak sangka meraih trofi Pelakon Komedi Lelaki Popular, jadi saya sangat teruja dan bangga kerana berjaya membawa pulang anugerah ini. Saya dapat rasakan anugerah ini semuanya kena-mengena dengan usaha Jozan, bukannya saya seorang.

“Jozan begitu kuat dalam kalangan peminat sejak dua hingga tiga tahun kebelakangan ini. Semua ini juga berkat doa abang dan keluarga saya yang berada di Kuala Terengganu saat ini, serta hasil undian ikhlas peminat,” katanya.

Namun, dia tidak dapat mengekalkan kemenangan bagi kategori Pengacara TV Lelaki yang diraih pada ABPBH edisi jubli perak yang lalu apabila trofi itu kembali semula ke tangan Datuk Aznil Nawawi.

Ditanya mengenai kekalahannya di tangan Aznil, Zizan berkata, dia tetap tumpang bangga di atas kemenangan insan yang dihormatinya itu, yang dianggap lebih berkaliber dalam bidang berkenaan.

Paling berpengaruh, stailo

Prestasi Zizan masih dilihat membanggakan apabila dia menguasai kategori online dengan membolot empat daripada tujuh trofi dipertandingkan, termasuk Gandingan Serasi di Layar bersama Johan selain Artis Berpengaruh Di Laman Media Sosial, Artis Lelaki Stailo dan Artis Asia Paling Popular.

Menggunakan laman sosial sebagai saluran berinteraksi dengan peminat, ia nyata kelebihan buat Zizan yang mampu mengetepikan Aaron Aziz dalam dua kategori, iaitu Artis Berpengaruh di Laman Media Sosial dan Artis Lelaki Stailo, selain menewaskan kumpulan K-pop, Super Junior serta Big Bang bagi Artis Asia.

Namun, Zizan terpaksa mengalah kepada Sofi Jikan bagi kategori Watak Jahat Dalam Filem atau Drama Popular, yang turut mencalonkan Aaron, Adi Putra dan Bront Palarae.

“Walau dihambat rutin kerjaya, dari dulu saya menjadikan laman sosial seperti Facebook (FB) dan Twitter sebagai medium untuk berhubung dengan peminat. Kami berbual di ruang maya mengenai apa juga topik. Pertalian itu yang merapatkan kami secara semula jadi.

“Sudah tentu saya terharu apabila nama saya berada di atas sekali dalam empat kategori online, sekali gus membuktikan FB dan twitter mempunyai pengaruh besar. Kemenangan ini juga mendorong saya menunaikan tanggungjawab memberikan hasil terbaik bagi membalas jasa peminat,” katanya.

Mengenai gandingannya dengan Johan, keserasian mereka dirasakan sejak terbabit dalam program Raja Lawak, malah kehadiran suami Ozlyn Wati itu turut diakui mempengaruhi undian.

“Dalam kategori ini, saya tak sangka akan menang sebab calon lain semuanya berpasangan dan mempunyai kelebihan masing-masing. Tetapi nampaknya peminat memilih kami dan ia mungkin juga impak kemenangan Maharaja Lawak,” katanya.

Peminat hargai bakat Sofi

Sementara itu, bagi Sofi, meskipun tidak dicalonkan dalam 16 kategori utama ABPBH 2012, dia tetap berpuas hati dengan kemenangannya. Apatah lagi inilah julung kali dia merangkul anugerah pada acara berprestij itu.

Sofi berbangga dan berterima kasih kepada pengundi, malah dia percaya peminat memandang bakat yang dimiliki terutama menerusi impak watak Keting dalam filem Bohsia.

“Pada awalnya saya jangka Aaron atau Adi yang dapat membawa pulang trofi, memandangkan anak saya sendiri pun mengundi mereka. Saya juga terpaksa memaklumkan kepada ibu saya, bukan saya yang nak jadi jahat, tetapi mereka yang buat saya jadi jahat.

“Tetapi saya selalu mengingatkan diri sendiri, kalau mahu berjaya, biar bawa watak kecil pun tidak mengapa asalkan memberi kesan dan sumbangan besar,” katanya yang menantikan kemunculan filem terbaru, Pecah, KL Gangster 2 dan Hantu Tok Mudim, yang dijangka berada di pawagam tahun ini.

Upin Ipin, Melissa teruja

Turut dipertandingkan dalam kategori online ialah Artis Wanita Stailo dan Watak Animasi Tempatan Popular yang masing-masing dimenangi penyanyi dari Sarawak, Melissa Francis, serta Upin dan Ipin.

Sebagai satu-satunya artis Iban yang julung kali dicalonkan dalam anugerah berprestij ini, Melissa tidak mampu menyembunyikan rasa teruja apatah lagi berpeluang bersaing dengan nama besar seperti Lisa Surihani, Yana Samsudin, Stacy dan Nora Danish.

“Saya sangat gembira kerana menjadi artis Iban pertama yang memenangi anugerah ini. Terima kasih kepada peminat yang mengundi dan ini membuktikan medium online sangat berpengaruh kepada artis sekarang,” katanya.

Suara latar di sebalik karakter Upin Ipin, Asyiela Putri, bersama Pengawai Perhubungan Awam Les Copaque Production, Mohd Zarin Abdul Karim, pula berkata sokongan kental sejak animasi itu disiarkan tujuh tahun lalu membolehkan mereka memenangi kategori animasi.

“Inilah kali pertama kami dicalonkan dan sudah tentu perasaan gembira mahu dikongsi dengan semua peminat Upin Ipin. Terbukti, selepas tujuh tahun, Upin Ipin masih melekat di hati peminat yang membesar dengan animasi ini,” kata Mohd Zarin.