Bentong: Penjualan rokok e-elektronik bukan saja salah di sisi undang-undang malah pengguna produk itu turut terdedah kepada pelbagai penyakit kronik.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata penjualan bahan dan produk itu adalah salah mengikut Akta Racun 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Mereka yang didapati bersalah menjual dan mengedar produk itu dan cecair nikotin untuk kegunaan rokok e-elektronik boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-dua sekali, katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sijil kepada 353 pelajar cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi kawasan Parlimen Bentong di sini, semalam.

Liow berkata, walaupun salah, penjualan rokok e-elektronik itu sukar dikawal berikutan orang ramai didapati membuat pembelian menerusi internet.

Rokok e-elektronik atau e-rokok ini kononnya bertujuan membuang tabiat merokok secara beransur-ansur, tanpa disedari mereka yang menggunakannya terdedah kepada kepada pelbagai jenis penyakit kronik, katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Liow yang juga Ahli Parlimen Bentong berkata, kerajaan menyediakan peruntukan yang besar dalam Bajet 2013 bertujuan memastikan kualiti hidup yang lebih baik dan sihat.
Beliau berkata, tidak ada gunanya jika negara mencapai status negara maju menjelang 2020 dan rakyat berpendapatan tinggi tetapi mereka berada dalam keadaan tidak sihat dan menghidap pelbagai jenis penyakit kronik.

Keadaan seperti itu akhirnya akan menyebabkan produktiviti dan ekonomi negara tidak meningkat, katanya.

BERNAMA