Defisit fiskal dijangka kekal pada 3.2 peratus kepada KDNK pada 2010

KUALA LUMPUR: Defisit fiskal dijangka kekal pada 3.2 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2010, seiring dengan langkah kerajaan yang akan terus mengamalkan pengurusan fiskal berhemat, demikian menurut Unit Perancangan Ekonomi (EPU).

Katanya, langkah akan diambil untuk meluaskan asas hasil dengan mengkaji semula insentif cukai dan meningkatkan kutipan cukai.

Seiringan dengan langkah kerajaan yang terus mengamalkan dasar fiskal berhemat, menunjukkan defisit fiskal yang mengecil daripada 3.6 peratus kepada KDNK pada 2005 kepada 3.2 peratus tahun lalu, kata EPU di Jabatan Perdana Menteri dalam kajian separuh penggal RMK9(2006-2010) di sini.

Dalam tempoh akhir rancangan itu, EPU berkata perbelanjaan mengurus kerajaan persekutuan dijangka meningkat lebih sederhana pada 6.9 peratus setahun.

Katanya, subsidi ke atas keluaran petroleum akan dikurangkan secara beransur selaras dengan langkah kerajaan untuk memperkenalkan sistem yang lebih adil untuk memberi faedah kepada golongan miskin dan berpendapatan rendah.

Sementara itu, siling perbelanjaan pembangunan bagi RMK9 ditambah sebanyak RM30 bilion kepada RM230 bilion.

EPU menjelaskan bahawa keperluan untuk menambah siling adalah mengambil kira keperluan tambahan pembangunan dan kenaikan kos barangan berkaitan pembinaan.

Katanya, projek pembangunan juga akan disusun semula dengan memberi keutamaan kepada projek mesra rakyat.

Di samping itu, katanya, program penswastaan dan inisiatif pembiyaan swasta (PFI) akan juga digunakan sebagai pelengkap kepada pelaburan awam yang lebih berkualiti dan memastikan nilai untuk wang.

EPU berkata, kerajaan akan mempertingkatkan disiplin fiskal dengan melaksanakan bidaan kompetitif dan menggalakkan amalan terbaik dalam pelaksanaan projek.

Sementara itu, katanya eksport pembuatan dijangka berkembang 8.1 peratus setahun, menggambarkan peningkatan berterusan permintaan dari pasaran tradisional dan baru.

Eksport komoditi pertanian diramal berkembang 14.2 peratus setahun dan komoditi perlombongan 9.2 peratus, terutamanya berikutan jangkaan harga eksport yang lebih tinggi.

Import kasar pula dijangka berkembang 9.8 peratus setahun, disumbang terutamanya oleh import barangan pengantara dan modal kedua-duanya adalah 85.3 peratus daripada jumlah import.

EPU berkata, imbangan pembayaran keseluruhan dijangka terus kukuh berikutan lebihan yang tinggi dalam akaun barangan dan lebihan yang semakin tinggi dalam akaun perkhidmatan.

Lebihan akaun semasa dijangka mencapai RM95.7 bilion atau 11.4 peratus kepada Keluaran Negara Kasar (KNK) pada 2010, disokong oleh pengekalan kedudukan yang kukuh dalam akaun barangan, sebahagiannya disumbangkan oleh harga komoditi dan nisbah harga eksport-import yang lebih baik, katanya.

Lebihan akaun perkhidmatan pula diunjur meningkat kepada RM3.8 bilion atau 0.4 peratus kepada KNK pada 2010, terutamanya berikutan penerimaan bersih yang lebih tinggi dalam akaun perjalanan.

Katanya, ia adalah selaras dengan usaha kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan utama serta peningkatan eksport perkhidmatan seperti pendidikan, penjagaan kesihatan dan penyumberan luar.

Sementara itu, EPU berkata keluaran negara kasar pada harga semasa dijangka meningkat 10.1 peratus setahun selaras dengan pengembangan aktiviti ekonomi dalam negeri dan harga komoditi yang kukuh.

Walau pun perbelanjaan penggunaan meningkat 11.0 peratus setahun, katanya tabungan negara kasar dijangka berkembang 8.9 peratus setahun dan merupakan 37.2 peratus kepada KNK.

Pelaburan termasuk perubahan stok, dijangka terus kukuh dan berkembang 15.3 peratus setahun.

Hasilnya, katanya kedudukan sumber dijangka mencatat lebihan sebanyak RM292.2 bilion atau 12.8 peratus kepada KNK dalam tempoh 2002-2010, mencerminkan keupayaan negara untuk membiayai pelaburan dalam negeri tanpa bergantung kepada pinjaman asing. - Bernama



Artikel lain: