KUALA LUMPUR: Dalam tempoh akhir RMK-9, sistem penyampaian pendidikan dan pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TEVT) akan terus memberi keutamaan kepada menghasilkan modal insan berkualiti yang diperlukan untuk pembangunan ekonomi.
Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri dalam kajian separuh penggal RMK (2006-2010) menjelaskan, pelaksanaan pelbagai program oleh sektor awam dan swasta dijangka dapat memenuhi keperluan pasaran bagi pekerja berpengetahuan yang dapat meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai.
Dalam tempoh akhir rancangan itu, EPU berkata, 305,930 pekerja mahir akan dilatih dan bilangan ini dijangka memenuhi 80 peratus permintaan terhadap tenaga kerja mahir.
“Daripada jumlah ini, TEVT awam akan menyumbang 55.7 peratus dan bakinya oleh TEVT swasta,” katanya.
EPU berkata, pelbagai program akan dipergiatkan dan strategi baru akan digubal seperti Pelaksanaan Skim Latihan Akademik bagi institusi pendidikan tinggi awam bagi mencapai sasaran 60 peratus staf akademik berkelayakan PhD menjelang 2010.
Sejumlah 3,700 staf akademik akan ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pengajian di peringkat PhD dibawah program ini manakala 70 peratus daripadanya dalam bidang sains dan teknology (S&T), katanya.
Selain itu, dalam meningkatkan keupayaan dalam bidang S&T, katanya lebih banyak biasiswa di peringkat ijazah akan di tawarkan bagi mencapai sasaran nisbah 50 ahli sains dan jurutera penyelidik (RSE) bagi setiap 10,000 tenaga buruh pada 2010.
Katanya, sebagai langkah menangani masalah kekurangan personel R&D, kajian yang komprehensif akan juga dilaksanakan untuk mengenal pasti bidang S&T dan bilangan RSE yang diperlukan.
Justeru itu, katanya sektor swasta digalakkan menyediakan lebih banyak biasiswa dan bantuan kewangan kepada penyelidik yang strategik dan pengkomersilan.
Katanya, semua usaha ini akan membantu Malaysia menghadapi cabaran yang muncul daripada globalisasi dan peningkatan persaingan dalam pasaran dunia.
Adanya modal insan berkualiti dan sistem tadbir urus yang baik akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menarik, katanya. - Bernama