KUALA LUMPUR: Satu suruhanjaya pengangkutan awam akan ditubuhkan bagi merancang dan menyelaras semua program pengangkutan awam dan inisiatif dalam negara, kata Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri.
Suruhanjaya itu akan bertanggungjawab untuk mengawal selia dan membangunkan sistem pengangkutan yang lebih cekap dan bersepadu, katanya dalam Kajian Separuh Penggal RMK-9 (2006-2010).
Katanya: “Usaha akan diambil termasuk memperluaskan liputan sistem rel transit bandar dan membina lebih banyak terminal di samping meningkatkan kecekapan perkhidmatan komuter, bas dan teksi bagi mencapai sasaran penggunaan kenderaan persendirian berbanding pengangkutan awam pada nisbah 70:30 menjelang tahun 2010, khususnya di Lembah Klang.
Pembangunan pelbagai infrastruktur pengangkutan juga akan mengambil kira keperluan meningkatkan akses dan keselesaan kepada Orang Kurang Upaya (OKU).
EPU berkata, liputan perkhidmatan komuter akan diperluas selepas projek landasan kereta api berkembar elektrik Sentul-Batu Caves siap dibina, dan ia dijangka akan memberi faedah kepada 8,800 pengguna komuter sehari.
Jajaran landasan transit aliran ringan laluan Kelana Jaya akan disambung dari Kelana Jaya ke Putra Height, serta laluan Ampang, dari Sri Petaling ke Putra Height, dan menurut EPU kedua-dua jajaran berkenaan akan dihubungkan di stesen pertukaran Putra Height.
Katanya, kapasiti jalan raya yang sedia ada yang tidak dapat menampung peningkatan penggunaan kenderaan persendirian serta perkhidmatan pengangkutan awam yang tidak mencukupi akan ditangani secara sistematik.
Kajian sedang dijalankan untuk mengenal pasti keperluan jalan raya tambahan bagi memperluas rangkaian jalan raya dan meningkatkan aksesnya di Sabah dan Sarawak.
Pada masa yang sama jalan raya lain yang akan dibina termasuk Lebuhraya Pantai Timur Fasa II dari Kuantan ke Kuala Terengganu dan Lebuhraya Senai-Desaru.
EPU juga berkata, perkhidmatan pengangkutan udara luar bandar akan diperluas bagi meningkatkan akses kepada penduduk di kawasan pedalaman Sabah serta Sarawak, dan katanya usaha menaik taraf terminal penerbangan tambang murah akan meningkatkan akses kepada perkhidmatan perjalanan tambang murah di kalangan lebih ramai penduduk.
Menyentuh mengenai Pembangunan Keluarga pula, satu Dasar Keluarga Negara akan digubal untuk menyepadukan usaha memperkukuhkan institusi keluarga.
“Pengecilan saiz keluarga dan peningkatan jumlah warga emas memerlukan institusi formal untuk melengkapkan tanggungjawab keluarga,” katanya.
EPU berkata lebih banyak pusat perkhidmatan keluarga setempat akan ditubuhkan untuk menyediakan perkhidmatan sokongan yang perlu termasuk kaunseling, latihan kemahiran keibubapaan dan perkhidmatan kesihatan reproduktif.
Katanya sektor swasta akan digalak untuk melaksanakan program bagi membantu keluarga dan individu yang memerlukan bantuan sebagai sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat mereka.
Merujuk kepada keselamatan kanak-kanak pula, menurutnya satu Dasar Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak-kanak akan digubal bagi menyediakan rangka kerja bagi pembangunan kanak-kanak yang berusia kurang dari empat tahun.
“Di samping itu, penyediaan penjagaan yang berkualiti dan persekitaran yang selamat bagi kanak-kanak adalah penting untuk meningkatkan dan menjamin kesejahteraan mereka,” menurutnya. - Bernama