Nilai tambah sektor perkhidmatan dijangkan mencecah RM948 bilion pada 2010

KUALA LUMPUR: Kerajaan memberi komitmen untuk meningkatkan nilai tambah sektor perkhidmatan sebanyak 7.9 peratus kepada RM948 bilion menjelang 2010, demikian menurut Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, kerajaan juga menyasarkan sumbangan sektor perkhidmatan kepada keluaran negara kasar meningkat kepada 55.7 peratus.

Kerajaan mahu meningkatkan nilai tambah sektor pembuatan sebanyak 3.5 peratus kepada RM168.9 bilion, kata EPU dalam Kajian Separuh Penggal RMK-9(2006-2010) disini hari ini.

Sasaran nilai tambah subsektor utama, seperti elektrik dan elektronik adalah RM32.9 bilion, M&E (RM19.2 bilion), petrokimia (RM20.5 bilion) dan kelengkapan pegangkutan (RM16.2 bilion).

Katanya purata tahap pelaburan tahunan juga disasarkan berjumlah RM27.5 bilion.

Sasaran subsektor utama elektrik dan elektronik ditetapkan RM14 bilion, M&E RM1.7 bilion, kelengkapan pengangkutan RM2.1 bilion dan peranti perubatan RM0.8 bilion.

Selain itu, kerajaan juga memberi komitmen untuk meningkatan nilai ditambah ICT kepada RM30 bilion dan meningkatkan pekerjaan berkaitan ICT kepada 500,000, kata EPU.

Dalam meningkatkan infrastruktur, di samping membina fasa dua lebuhraya pantai timur dan membina landasan keretapi berkembar elektrik Seremban-Gemas dan Ipoh-Padang Besar, katanya kerajaan juga memberi komitmen untuk menaik taraf lapangan terbang Kuching, Kota Kinabalu, Kuala Terengganu dan Labuan.

Kerajaan juga akan membina jalan menghubungkan kawasan penempatan semula dengan kawasan perindustrian luar bandar dan estet terutama Sabah dan Sarawak, katanya. - Bernama



Artikel lain: