KUALA LUMPUR: Kerajaan menyasarkan ketibaan 24.6 juta orang pelancong asing dengan pendapatan RM59.4 bilion menjelang 2010, demikian menurut Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.
Katanya, sasaran itu lebih tinggi berbanding dengan 21 juta orang pelancong asing yang datang ke Malaysia pada tahun 2007 dengan pendapatan sebanyak RM46.1 bilion.
Kerajaan juga menyasarkan untuk meningkatkan pendapatan industri pelancongan kesihatan kepada RM1 bilion, katanya dalam Kajian Separuh Penggal RMK-9 (2006-2010) di sini hari ini.
Kerajaan juga mensasarkan untuk meningkatkan pendapatan industri pelancongan pendidikan kepada RM1 bilion, katanya.
Perbelanjaan per kapita pelancong juga dijangka meningkat kepada RM2,417 dari RM2,198 pada tahun 2007, kata EPU. - Bernama