KUALA LUMPUR: Sebanyak 625,000 pekerjaan baru akan diwujudkan termasuk di koridor pertumbuhan wilayah di dalam tempoh akhir RMK-9 (2008-2010), demikian menurut Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.
Permintaan bagi pekerja berpengetahuan dijangka berkembang pada kadar purata 3.1 peratus setahun dan menyumbang 47 peratus daripada jumlah pekerjaan diwujudkan, katanya dalam Laporan Kajian Separuh Penggal RMK9 2006-2010 yang dikeluarkan hari ini.
Menurut EPU, pertambahan permintaan bagi modal insan berkemahiran akan dipenuhi melalui pertambahan keupayaan dan peningkatan kualiti institusi pendidikan dan latihan di semua peringkat dengan penekanan kepada budaya kerja berprestasi tinggi dan sikap positif.
Katanya, gabungan langkah jangka pendek dan panjang akan diambil untuk mengurangkan bilangan pekerja asing berkemahiran rendah kepada 1.8 juta pada 2010.
Ini termasuk memperkemaskan pengambilan pekerja asing dan sistem levi; menetapkan siling penggajian buruh asing mengikut sector kecil; mengkaji semula sistem gaji; menyediakan kemudahan dan faedah yang lebih baik bagi mengekalkan pekerja tempatan dalam sektor terpilih dan mengurangkan industri berintensif buruh secara berperingkat, katanya.
Selain itu, katanya penyertaan wanita dalam pasaran buruh akan dipertingkat kepada 50 peratus pada tahun 2010 daripada 46.1 peratus pada tahun 2007.
Kerajaan akan mengkaji semula dasar, strategi, undang-undang perburuhan dan prosedur berkaitan penggajian tenaga pakar dan buruh asing berkemahiran tinggi dalam pekerjaan yang khusus.
Dalam tempoh akhir rancangan, menurut EPU, penduduk dianggarkan seramai 28.24 juta pada tahun 2010 bertambah pada kadar yang perlahan iaitu 1.2 peratus setahun.
Tenaga buruh dijangka berkembang pada kadar yang perlahan iaitu 1.76 peratus setahun dan guna tenaga bertambah lebih tinggi sedikit iaitu 1.79 peratus setahun.
Perkembangan ini akan mengakibatkan kadar penganguran berkurangan kepada 3.1 peratus pada tahun 2010, katanya.
Dalam tempoh kajian semula, katanya dengan pertambahan penduduk daripada 26.45 juta pada 2005 kepada 27.23 juta pada tahun 2007, tenaga buruh meningkat pada kadar purata 2.1 peratus kepada 11.8 juta.
Kadar pengangguran terus berkurangan daripada 3.5 peratus pada tahun 2005 kepada 3.2 peratus pada 2007.
Keadaan ini menunjukkan pasaran buruh mengalami kekurangan penawaran tenaga buruh yang semakin meruncing dalam tempoh berkenaan, katanya.
Pada 2006, menurut EPU, seramai 785,000 warganegara Malaysia yang berkemahiran bekerja di pelbagai negara terutama di Singapura dan negara maju.
Penggajian pekerja asing meningkat daripada 1.8 juta pada tahun 2005 kepada 2.04 juta pada tahun 2007, katanya. - Bernama