KDNK dijangka berkembang 6.0 peratus bagi tempoh 2008-2010

KUALA LUMPUR: Kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkembang pada kadar 6.0 peratus setahun dalam tempoh akhir RMK-9 (2008-2010), disokong oleh permintaaan dalam negeri, terutamanya perbelanjaan sektor swasta, kata Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri.

EPU dalam kajian separuh penggal RMK-9 (2006-2010) yang dikeluarkan hari ini menyatakan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian akan kekal sebagai sumber utama pertumbuhan.

Pelaburan swasta dijangka berkembang 10.6 peratus setahun dan pelaburan awam dijangka berkembang 6.3 peratus manakala penggunaan swasta dijangka berkembang 7.6 peratus setahun dengan peratusannya kepada KDNK meningkat kepada 52.9 peratus pada tahun 2010, katanya.

Menurutnya, sektor perkhidmatan dijangka mengekalkan momentum pertumbuhan pada kadar 7.9 peratus setahun, subsektor perdagangan borong dan runcit, penginapan dan restoran dijangka berkembang 8.4 peratus setahun, sektor pembuatan 3.5 peratus setahun, sektor pertanian 4.4 peratus setahun, sektor perlombongan 3.4 peratus setahun dan sektor pembinaan 5.8 peratus setahun.

Pendapatan per kapita pada harga semasa juga dijangka meningkat 8.8 peratus setahun kepada RM29,711 dan pendapatan per kapita berdasarkan kuasa beli meningkat kepada AS$18,439 pada tahun 2010, katanya.

Dalam tempoh akhir RMK-9, EPU berkata strategi ekonomi makro akan memberi tumpuan kepada usaha menangani inflasi, meningkatkan daya saing dan merangsang sumber pertumbuhan baru.

Katanya, ekonomi Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk menghadapi ketidaktentuan dan risiko yang timbul dari kelembapan ekonomi dunia, kenaikan inflasi, isu subprima dan saingan lebih sengit dari ekonomi baru muncul.

KDNK negara bagi tempoh 2006-2007 sudah melepasi sasaran RMK-9 sebanyak 6.0 peratus dengan disokong oleh permintaan dalam negeri yang kukuh.

Pada 2007, kata EPU, semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif diterajui oleh sektor perkhidmatan yang berkembang sebanyak 8.5 peratus setahun, sektor perkhidmatan berkembang pada kadar 5.1 peratus setahun, sektor pertanian sebanyak 3.8 peratus setahun, sektor pembinaan 2.0 peratus setahun dan sektor perlombongan 0.2 peratus setahun.

Imbangan keseluruhan terus kukuh pada RM45.3 bilion atau 7.2 peratus daripada keluaran negara kasar (KNK) manakala hutang kerajaan persekutuan adalah sebanyak RM266.7 bilion atau 41.6 peratus kepada KDNK pada 2007. - Bernama



Artikel lain: