Kerajaan pastikan strategi pengagihan akan sumbang secara positif dalam pertumbuhan ekonomi

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan memastikan pelaksanaan strategi pengagihan dalam tempoh akhir RMK-9 dua tahun dari sekarang akan menyumbang secara positif ke arah mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang saksama, menggalakkan pembangunan modal insan dan memperkukuhkan perpaduan nasional.

Dalam separuh pertama RMK-9, kemajuan yang menggalakkan sudah dicapai dari segi pengurangan kemiskinan dan ketidakseimbangan pendapatan antara kumpulan etnik serta peningkatan penyertaan Bumiputera dalam pekerjaan dan sektor utama ekonomi, kata Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri dalam Kajian Separuh Penggal RMK-9 (2006-2010).

Oleh itu, strategi pengagihan akan diteruskan ke arah penyertaan yang lebih seimbang dan pengagihan peluang yang berkualiti secara saksama di kalangan pelbagai kumpulan etnik, kata EPU.

Antara objektif yang ingin dicapai adalah dengan mempercepatkan pembangunan negeri dan wilayah yang kurang membangun untuk mengurangkan ketidakseimbangan wilayah.

Dalam konteks ini, EPU berkata kerajaan akan menerajui pembangunan koridor di lima wilayah berdasarkan kesediaan sumber asli dan potensi ekonomi.

Selain itu, katanya langkah akan diambil untuk meningkatkan lagi penyertaan Bumiputera dalam sektor swasta, pemilikan ekuiti korporat Bumiputera dan pembangunan Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera (MPPB) dan Masyarakat Sains dan Teknologi Bumiputera (MSTB).

Dalam tempoh 2006-2007, terdapat peningkatan pendapatan purata semua rakyat Malaysia, pengurangan kadar kemiskinan dan penambahbaikan penyusunan semula pola guna tenaga dan hak milik ekuiti korporat.

EPU berkata, kerajaan akan terus memberi penekanan kepada aktiviti penjanaan pendapatan dan penyediaan kemudahan asas terutamanya perumahan yang dilihat sebagai satu unsur kritikal dalam program pembasmian kemiskinan.

Katanya penekanan akan diberi kepada peningkatan bahagian pendapatan bagi isi rumah 40 peratus terendah, bagi mewujudkan kumpulan berpendapatan menengah yang lebih besar dan pengurangan jurang perbezaan antara etnik dan antara wilayah.

Kumpulan ini yang didefinisikan sebagai mereka yang berpendapatan antara RM2,000 hingga RM4,000 sebulan dijangka akan meningkat dari segi saiz dan mencapai pertumbuhan pendapatan yang lebih pesat.

Mengenai pencapaian Bumiputera pula, satu pangkalan komprehensif bagi memantau kemajuan Bumiputera dalam sektor korporat akan dibangunkan, kata EPU.

Katanya, pemilikan kekayaan Bumiputera dalam aset bukan kewangan seperti pemilikan bangunan komersil dan kediaman akan dijadikan sebagai pengukur tambahan bagi menilai pencapaian Bumiputera. - Bernama



Artikel lain: