Teras 1: Tingkat hasil beras Oleh Khairunnisa Kamarudin

Sebahagian RM3b baiki saliran sawah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM3 bilion dalam tempoh separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang sebahagiannya akan digunakan untuk meningkatkan pengeluaran beras negara.

Menterinya, Datuk Mustapa Mohamed, berkata untuk tujuan itu kira-kira RM1.5 bilion akan digunakan untuk membaiki kemudahan pengairan dan saliran di kawasan penanaman padi, manakala bakinya untuk tambahan bekalan mencukupi untuk keperluan negara seperti ternakan, sayuran dan akuakultur.

"Langkah ini bagi memastikan kita dapat tambahkan pengeluaran padi negara, selain memastikan bekalan makanan seperti kambing, lembu, sayur-sayuran dan akuakultur ditambah," katanya mengulas mengenai Kajian Malaysia Separuh Penggal RMK-9 di Parlimen, semalam, yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mengulas mengenai sasaran pengeluaran beras kepada 2.9 juta tan, Pengerusi Persatuan Pemborong Beras Kedah, Tan Swee Huat, berkata ia sukar dilaksanakan jika insentif tidak diberikan kepada petani yang rata-rata hidup dalam kemiskinan.

“Masalah utama membelenggu petani adalah harga barang semakin meningkat menyebabkan petani terpaksa berbelanja lebih untuk membeli bahan penyubur dan racun serangga, selain kekurangan tanah.

“Apa yang perlu dilakukan kerajaan bagi mencapai sasaran itu ialah dengan menggunakan tanah terbiar untuk melaksanakan aktiviti penanaman padi. Ia dapat dilakukan dengan menggalakkan sektor swasta menceburi penanaman padi memandangkan petani tidak mampu membeli tanah yang mahal harganya,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Pemborong Ayam Wilayah Persekutuan meminta kerajaan menambah peruntukan serta mengadakan ternakan secara moden bagi membantu industri ternakan meningkatkan pengeluarannya kepada 1.3 juta tan seperti disasarkan pada 2010.

Penasihatnya yang juga Pengerusi Biro Pertanian MCA Kebangsaan, Datuk Dr Lee Chong Meng, berkata sasaran kerajaan dalam meningkatkan pengeluaran ayam dapat membantu industri ternakan kepada tahap kompetitif.

“Bagi mencapai sasaran itu, kerajaan harus menggalakkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi membanyakkan hasil ternakan tanpa bergantung kepada kaedah tradisional, selain menyediakan kawasan lebih luas untuk aktiviti ini.

“Pemilik tanah swasta juga digalak menjalankan aktiviti ternakan ayam untuk mencapai sasaran kawasan lebih luas,” katanya.



Artikel lain: