KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengambil pendekatan agresif dalam baki dua tahun pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi membangunkan industri teknologi maklumat (IT) kerana ia menjadi teras penting pembangunan negara menjelang Wawasan 2020.
Pendekatan itu termasuk perbelanjaan yang mencukupi bagi menyiapkan infrastruktur yang lengkap dan berupaya menarik pelaburan asing ke dalam Koridor Raya Multimedia.
Pengerusi Kongres Perikatan Teknologi Maklumat dan Perkhidmatan Dunia (WITSA), Dan E Khoo menyokong langkah kerajaan menumpu kepada sektor perkhidmatan perkongsian dan penyumberan luar (SSO) serta pembangunan multimedia kreatif.
Kedua-dua sektor berkenaan adalah antara sektor berpotensi tinggi yang dikenal pasti sepanjang penggal kedua RMK-9 dapat memantapkan kedudukan Malaysia sebagai hab multimedia dan IT di rantau ini.
Khoo berkata, permintaan global yang tinggi terhadap sektor SSO membuka peluang kepada Malaysia untuk terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara penyedia terkemuka sektor berkenaan.
“Sektor ini mendapat permintaan global yang tinggi justeru menjadi sektor yang betul untuk diterokai. Bagaimanapun untuk berjaya di dalam sektor ini, kita perlu berada pada kedudukan yang betul selain memiliki kemudahan yang cukup untuk memenangi sebarang kontrak,” katanya.