Teras 2: Pendidikan tetap diberi keutamaan

Tambahan peruntukan bukti keprihatinan kerajaan

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan terus memperkasakan sekolah kebangsaan, selain memberi penekanan dalam pendidikan awal serta vokasional dalam usaha untuk merapatkan jurang pendidikan di bandar dan luar bandar, terutama di Sabah dan Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata bantuan kepada sekolah aliran lain juga akan terus ditingkatkan bagi memastikan kepelbagaian aliran di negara ini sebagai kekuatan aspek pendidikan negara.

Katanya, tambahan peruntukan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang dibentangkan semalam jelas menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam bidang pendidikan.

"Kita bersyukur dalam suasana ekonomi yang mencabar, pendidikan terus menjadi keutamaan kerajaan. Lebih menarik ia bersandarkan kepada teras yang termaktub dalam pelan pembangunan pendidikan lima tahun kementerian.

"Walaupun kementerian ini menerima peruntukan tertinggi dalam RMK-9, tetapi kerajaan tetap menambah peruntukan dalam kajian separuh penggal ini. Ia menunjukkan dalam apa jua suasana ekonomi dan politik melanda negara, kita sentiasa konsisten untuk meningkatkan taraf pendidikan rakyat," katanya.

Beliau berkata, keutamaan agenda pendidikan ini selaras dengan Misi Nasional dalam usaha negara untuk mencapai Wawasan 2020.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Dr Mustaffa Mohamed Zain, berkata usaha mewujudkan masyarakat minda kelas pertama menuntut pengorbanan kerana ia memerlukan perbelanjaan tinggi menerusi penyediaan sistem pendidikan berkualiti hingga ke peringkat tertinggi.

Kemasukan lepasan sekolah ke institusi pendidikan tinggi dijangka meningkat daripada 829,831 tahun lalu kepada 1.349 juta menjelang 2010 atau 40 peratus kadar penyertaan bagi kumpulan usia 17 hingga 23 tahun.

Katanya, usaha meningkatkan lebih ramai kemasukan lepasan sekolah dilihat sebagai langkah proaktif dalam melahirkan generasi muda berminda kelas pertama.

Beliau berkata, sumber tenaga profesional ini bakal menjadi pemangkin kepada proses membangunkan negara bagi mengisi keperluan tenaga kerja pelbagai sektor.

Malah katanya, pendedahan di pusat pengajian memberi peluang pelajar memajukan diri sebagai persiapan menjadi tenaga kerja lebih berdaya saing.

Presiden Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Tan Sri Anuwar Ali, berkata kaedah belajar juga perlu berubah dengan mempelbagaikan proses menerusi e-pembelajaran sebagai alternatif kepada pendekatan tradisional.

“Saya yakin, program pendidikan secara maya memberi peluang yang lebih ramai lepasan sekolah mengikuti pengajian di peringkat tertiari yang semakin dituntut dalam menjayakan misi pembangunan negara” katanya.

Bagaimanapun, bagi tokoh akademik, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, berkata usaha melahirkan generasi berpendidikan perlu diterapkan sejak awal iaitu bermula dalam diri individu itu sendiri.

Beliau berkata, perkara ini penting kerana masing-masing tidak memberi tumpuan untuk masuk ke universiti semata-mata bagi mendapatkan pekerjaan kerana apa yang lebih penting ialah proses penambahbaikan diri.

Katanya, langkah itu selaras dengan usaha menjana modal insan yang seimbang selain menjadikan mereka lebih berdaya saing di peringkat global.



Artikel lain: