Oleh Basir Zahrom dan Khairul Azran Hussin
Pengumuman bukti kerajaan prihatin masa depan bukan Bumiputera
KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu, berterima kasih kepada kerajaan kerana meningkatkan ekuiti kaum India seperti yang diumumkan pada pembentangan kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Katanya, perkara itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) prihatin terhadap masa depan kaum India.
“Sebelum ini MIC sudah mencadangkan kepada kerajaan supaya meningkatkan ekuiti kaum India sebanyak tiga peratus menjelang 2020, dan saya yakin dengan permulaan ini, kedudukan ekonomi kaum India akan dapat ditingkatkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau mengulas pengumuman mengenai bantuan kepada kaum India yang akan ditingkatkan melalui pemilikan ekuiti skim unit amanah kepada 1.5 peratus manakala ekuiti kaum Bumiputera pula sebanyak 20 hingga 25 peratus menjelang 2010 yang dinyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, pada pembentangan kajian separuh penggal (RMK-9) di Dewan Rakyat .
Perdana Menteri berkata, pelbagai usaha juga akan dijalankan bagi meningkatkan peluang kaum India untuk menceburkan diri dalam program latihan kemahiran dan keusahawanan.
“Pemilikan ekuiti sektor korporat juga meningkat bagi golongan bukan Bumiputera, daripada 40.6 peratus pada 2004 kepada 43.9 peratus pada 2006.
“Walaupun peratusan pemilikan etnik India menurun sedikit daripada 1.2 peratus kepada 1.1 peratus, dari segi nilai mutlak, tahap pemilikan etnik India meningkat RM575.2 juta atau 9 peratus dalam tempoh terbabit,” kata Abdullah
Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam, berkata keputusan mewujudkan skim amanah bagi meningkatkan ekuiti dan kepentingan masyarakat India dilihat sebagai adil dan satu langkah tepat ke arah mewujudkan keseimbangan kaum di negara ini.
“Ekuiti dan kepentingan masyarakat India terus diberi keutamaan, dan saya percaya ia adalah usaha untuk menegakkan hak semua rakyat Malaysia seperti yang dijamin oleh Perlembagaan dan seterusnya mewujudkan keseimbangan di antara ekonomi dengan pembangunan sosial dan moral.
“Langkah untuk mengambil lebih ramai pekerja kaum India di sektor awam juga menunjukkan kerajaan sentiasa berusaha memberi peluang sama rata kepada rakyat pelbagai kaum di negara ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Subramaniam berkata, tambahan peruntukan sebanyak RM30 bilion menerusi Kajian Separuh Penggal (RMK-9) bagi mengatasi kesan kenaikan harga membuktikan kerajaan sanggup melakukan apa saja demi kesejahteraan rakyat.
“Penekanan diberikan kepada projek pembangunan di luar bandar dan ia sekali gus memberi manfaat kepada rakyat keseluruhan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik, menyifatkan sasaran 20 hingga 25 peratus untuk ekuiti Bumiputera adalah lebih realistik selepas membuat kajian semula kerana penurunan kadar itu berlaku pada tahun 2005 iaitu daripada 22 peratus kepada 18 peratus.
Katanya, jika kaum Bumiputera boleh mencapai lebih 25 peratus itu adalah satu bonus dan tindakan berkesan mesti dimulakan dari sekarang bagi mencapai sasaran itu.
“Beberapa langkah dikenal pasti boleh menambahkan ekuiti seperti menubuhkan satu lagi agensi kerajaan seperti Permodalan Nasional Bhd (PNB) bagi menggalakkan kaum Bumiputera melabur seterusnya menambah kapasiti dana dan tabungan dari Bumiputera seluruh negara.
“Antara usaha lain untuk mempercepatkan sasaran ekuiti itu tercapai adalah dengan membantu syarikat Bumiputera yang hampir berkeupayaan supaya tersenarai dalam Bursa Saham kerana sekarang hanya 18 hingga 20 peratus saja yang berada pada tahap itu.
“Cara lain adalah dengan menyertai program seperti yang Gabem sendiri anjurkan iaitu satu keluarga satu syarikat di mana keluarga tidak perlu berniaga dan hanya mendaftarkan nama ke Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan harta keluarga dikorporatkan dalam bentuk saham bertujuan memelihara harta keluarga,” katanya.