Inisiatif berterusan bantu usahawan PKS

DEWAN Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyifatkan agenda pelaksanaan fasa kedua Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) berada pada landasan kukuh, khususnya dalam membantu meningkatkan pendapatan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara ini.

Presiden DPMM, Syed Ali Alattas, berkata langkah kerajaan untuk membantu syarikat tempatan mengembangkan pasaran produk ke pasaran baru dilihat antara pemangkin kepada pertumbuhan industri berkenaan.

Katanya, DPMM turut tidak terkecuali dalam membantu dan membimbing industri PKS menerusi misi perdagangan yang diadakan ke beberapa negara berpotensi dalam meningkatkan rangkaian perniagaan di kalangan ahlinya.

“Hasil pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-9 memperlihatkan inisiatif berterusan kerajaan dalam membantu meningkatkan pendapatan kira-kira 80 peratus usahawan PKS di negara ini,” katanya ketika dihubungi di Kuala Lumpur, semalam.

Syed Ali berkata, DPMM sudah melaksanakan tujuh misi perdagangan yang sejak 2005 antaranya ke China dan Bahrain dan beberapa lagi akan menyusul sehingga akhir tahun ini termasuk pasaran Syria serta Iran.

Katanya, program pemasaran yang dilaksanakan anak syarikatnya, DPMM Foods Industry Marketing Sdn Bhd juga berjaya meningkatkan daripada 1,000 produk kepada 10,000 produk makanan sebulan di kalangan usahawan luar bandar.

“Bantuan kerajaan dalam membantu memasarkan dan mempromosikan produk dan perkhidmatan ke pasaran luar amat penting dalam meningkatkan hasil jualan syarikat tempatan,” katanya.



Artikel lain: