KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyegerakan projek bekalan elektrik di luar bandar bagi meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat di kawasan berkenaan sebelum tamat Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bagi mengelakkan terpaksa menanggung kos lebih tinggi pada masa depan.
Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang juga Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Prof Datuk Mohd Hamdan Adnan, berkata jika tidak disegerakan dikhuatiri kerajaan terpaksa menanggung kos lebih tinggi pada masa akan datang berikutan peningkatan kos untuk menyediakan prasarana berkenaan.
Katanya, rakyat negara ini tidak seharusnya ketinggalan untuk menikmati bekalan elektrik selepas 50 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan dan hidup dalam kemodenan.
“Menyediakan kemudahan bekalan elektrik memang mahal dan jika tidak disegerakan ia akan mengakibatkan peningkatan perbelanjaan berikutan keadaan semasa yang menunjukkan semua projek memerlukan kos tinggi dari semasa ke semasa.
“Agensi kerajaan perlu menyalurkan maklumat tepat bagi memastikan kawasan tiada liputan elektrik mendapat kemudahan berkenaan sekali gus memberi keselesaan hidup kepada rakyat.
“Selain itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan institusi pengajian tinggi juga boleh memainkan peranan dalam mencipta teknologi tertentu menerusi program pembangunan dan penyelidikan (R&D) masing-masing bagi membolehkan reka cipta yang dilakukan dapat membantu kerajaan mencapai sasaran itu,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N Siva Subramaniam pula ketika dihubungi berkata, kawasan terpencil seperti di Sabah dan Sarawak memerlukan pembelaan kerana penduduk berkenaan masih bergantung kepada penjana kuasa akibat lokasi yang sukar untuk dicapai.
“Kerajaan perlu menjamin keperluan rakyat dan ia memerlukan komitmen di mana pejabat daerah dan wakil rakyat perlu mengemukakan masalah itu kepada pihak berwajib untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
yang juga mencadangkan supaya rakyat miskin diberi tarif rendah bagi mengelakkan dibebankan dengan bil bulanan tinggi.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan seharusnya mampu menyediakan liputan bekalan elektrik secara menyeluruh tetapi ia tidak dapat dilaksanakan akibat kekangan tertentu.
“Pencapaian 100 peratus itu boleh direalisasikan kerana rakyat tidak seharusnya hidup dengan menggunakan penjana kuasa yang boleh bertahan sehingga 12 jam di kawasan terpencil seperti di Sabah, Sarawak dan pulau,” katanya.