Oleh Fazallah Pit dan Mohamed Farid Noh
Tumpuan diarah kepada peringkat ekonomi mikro
KUALA LUMPUR: Keberkesanan sistem penyampaian adalah cabaran sebenar dalam melaksanakan pelbagai janji, program dan projek yang dirancang dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).
Pemangku Presiden Gerakan, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, berkata mekanisme sistem penyampaian perlu diperbaiki supaya ia benar-benar berkesan berbanding sebelum ini.
Katanya, petunjuk terhadap sosio-ekonomi makro tidak dinafi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, rizab asing dan pekerjaan tetapi tumpuan perlu diarah kepada peringkat ekonomi mikro.
Beliau berkata, ekonomi mikro penting kerana ia memberi kesan besar terhadap kenaikan kos perniagaan, corak kehidupan dan kualiti kehidupan rakyat.
“Ketika kadar kemiskinan merosot pada 2007, penstrukturan semula subsidi minyak, makanan dan barangan kebelakangan ini lebih banyak menyebabkan rakyat mengalami miskin relatif,” katanya pada satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengenai pelan komprehensif Kajian Separuh Penggal RMK-9.
Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata, komitmen kerajaan untuk memantapkan sektor perkhidmatan awam menjadi lebih moden, berkesan, mesra pelanggan dan bebas birokrasi itu sememangnya dialu-alukan.
Beliau berkata, jangkaan pencapaian seperti digariskan Perdana Menteri itu bukan saja realistik, malah mampu menjana mutu perkhidmatan awam yang lebih unggul.
“Perubahan itu perlulah dituruti dengan anjakan terutama dalam aspek pemodenan atau penyediaan kemudahan dan infrastruktur lebih seimbang serta perubahan sikap kakitangan awam yang benar-benar mahu berubah,” katanya.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan, berkata kakitangan awam perlu menyahut seruan kerajaan untuk melakukan pemodenan dalam sistem penyampaian.
Beliau berkata, sebagai badan yang berhubung secara langsung dengan sistem penyampaian kerajaan, kakitangan awam perlu serius untuk mengubah pandangan awam terhadap institusi itu.
Pengarah Pusat Kajian Harta Tanah Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Sr Abdul Hakim Mohamed, berkata pemodenan sektor perkhidmatan awam bukan hanya retorik dan kata kosong kerajaan.
“Saya sendiri terbabit untuk membuat draf Polisi Pengurusan Aset Kerajaan yang kini hanya menunggu kelulusan Kabinet. Jika dilaksanakan kelak, pengurusan segala aset serta hartanah milik kerajaan termasuk sistem penyampaiannya akan dioptimumkan bagi memastikan tiada pembaziran berlaku,” katanya.