Muka Hadapan Terkini Pemuda Wanita Puteri Senarai Calon Berita rencana Video Foto Sejarah Berita Harian Online

>> Berita

RM200b lagi Bajet 2010

KUALA LUMPUR: Kerajaan mungkin memperuntukkan kira-kira RM200 bilion lagi di bawah Bajet 2010, sekali gus menjadikan peruntukan menjana ekonomi negara mencecah sekitar RM470 bilion, kata Datuk Seri Najib Razak.

Timbalan Perdana Menteri berkata, sebelum ini peruntukan RM206 bilion di bawah Bajet 2009 sudah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, selain dua pakej rangsangan ekonomi masing-masing berjumlah RM7 bilion dan RM60 bilion yang diumumkan beliau sendiri.

Najib yang juga Menteri Kewangan dan Presiden Umno yang baru, berkata kerajaan yakin usaha melalui empat kumpulan peruntukan itu berjumlah sekitar RM470 bilion mampu menjana ekonomi negara dengan lebih baik.

"Walaupun begitu, keberkesanannya masih bergantung kepada suasana ekonomi luar negara," katanya ketika menggulung perbahasan usul ekonomi pada hari terakhir Perhimpunan Agung Umno 2008 di sini, semalam.

Najib juga mengumumkan satu laman web khas mengenai pemantauan dan perbelanjaan pakej rangsangan akan dilancarkan dua minggu lagi.

“Semua orang boleh mengakses laman web ini, menjadikan usaha kita terbukti telus dan terbuka. Ini semua dilakukan kerana keprihatinan terhadap tanggungjawab agar setiap sen dibelanjakan sampai kepada sasaran, terutama rakyat yang memerlukannya,” katanya.

Kerajaan sebelum ini menubuhkan Unit Pengurusan Projek bagi memastikan pelaksanaan kedua-dua pakej rangsangan itu berjalan lancar.

Najib berkata, RM1.5 bilion akan dibelanjakan sehingga akhir bulan depan dan RM2.5 bilion sehingga akhir Mei.

"Ia membabitkan lebih 32,000 projek pembangunan yang akan membabitkan kontraktor kelas F, yang juga penyokong kuat dan setia Umno," katanya.

Mengenai syarikat berkaitan kerajaan (GLC), beliau memperbetulkan dakwaan bahawa ada seorang lembaga pengarah terbabit dalam 60 syarikat.

“Saya sudah periksa perkara ini. Ini adalah tidak mungkin disebabkan mengikut peraturan terkini, seseorang hanya boleh menjawat 10 jawatan ahli lembaga pengarah dalam syarikat tersenarai dan 15 jawatan dalam syarikat sendirian berhad.

"Kalau ada, beritahu saya, saya tidak akan membenarkan perkara ini berlaku," katanya sambil menegaskan perkembangan GLC sentiasa dipantau supaya selaras dengan aspirasi kerajaan dan jaminan itu disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Timbalan Perdana Menteri juga berkata, kerajaan akan meneruskan program untuk kesejahteraan rakyat.

Kerajaan memperuntukkan RM27.9 bilion subsidi, antaranya bagi petrol, diesel, gas memasak, gandum, roti, gula, tepung, beras, buku teks, biasiswa, pendidikan, kesihatan, kebajikan dan tol lebuh raya, manakala tahun lalu subsidi RM34.1 bilion disediakan.














Artikel lain:



Site Meter