Pengundi Permatang Pauh kena rasional pilih pemimpin elak negara tergadai
BAHANG pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh semakin terasa. Tanggal 26 Ogos ini, kawasan yang mempunyai 58,459 pengundi itu tentu akan menjadi tumpuan bukan saja rakyat dan pemimpin tempatan, malah pemerhati asing. Wartawan Berita Minggu, Norfatimah Ahmad dan jurugambar, Abd Rahim Rahmat, berpeluang mendapatkan reaksi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengenai perjuangan Barisan Nasional (BN) untuk masa depan penduduk Permatang Pauh. Ikuti temu bual eksklusif selama hampir sejam ketika Timbalan Presiden Umno yang juga Ahli Parlimen Pekan dalam penerbangan pulang ke kawasannya, semalam.
BAGAIMANA Datuk Seri melihat perkembangan setakat ini, terutama dari segi perjalanan jentera pilihan raya Umno dan BN?
Saya lihat keadaan bertambah lebih baik untuk BN. Sejak hari pertama berkempen sampai hari ini, nampaknya memang ada peningkatan sokongan kepada calon BN. Selain itu, kemampuan jentera kita berjalan dalam pelbagai aktiviti yang lebih banyak daripada pembangkang.
Apakah Datuk Seri berpuas hati dengan petugas jentera pilihan raya kecil kali ini?
Setakat ini, saya berpuas hati, tetapi saya minta dipertingkatkan dari segi tenaga, perjalanan dan keberkesanan aktiviti kerana berdepan persaingan hebat dan tidak boleh bersikap 'take for granted' (ambil mudah). Maknanya, kita perlu buat apa saja yang terdaya mengikut undang-undang. Apa yang kita perlu lakukan, kita akan lakukan.
Bermula hari penamaan calon, kekalutan mula dicetuskan penyokong pembangkang yang bertindak kasar terhadap semua pihak yang dianggap penghalang untuk mereka memenuhi impian mentadbir negara. Apa pandangan Datuk Seri mengenai tindakan yang menyimpang daripada amalan demokrasi, selain melanggar undang-undang ini?
Memang benar, mereka menunjukkan cara yang kasar dan biadab. Budaya kasar ini dan budaya holiganisme (samseng) tidak sepatutnya ada dalam budaya politik tanah air kita. Kita mesti mengamalkan demokrasi secara sihat dengan kematangan yang tinggi.
Timbul desas-desus mengenai rancangan pembangkang untuk membawa 20,000 penyokong bagi mengukuhkan benteng mereka dan jika diambil kira ugutan dan ancaman yang dihadapi Wanita dan Puteri Umno, bagaimana negara mahu mempertahankan pelaksanaan pilihan raya yang adil dan saksama?
Itu yang diuar-uarkan, lebih ramai penyokong pembangkang akan tiba dan saya percaya mereka akan cuba menguasai keadaan dan suasana setempat. Mereka hendak 'control the ground' (mengawal kawasan) seperti di Lunas dan Terengganu sebagai contoh. Bagaimanapun, jika kekuatan kita besar, mereka tak mungkin dapat berbuat demikian.
Oleh itu, kita akan tingkatkan bilangan dari segi keselamatan, tambahkan tenaga dan pasukan kita yang bergerak pun mesti ada kawalan keselamatan. Pada masa sama, kita minta pihak berkuasa bertindak kepada sesiapa yang langgar undang-undang.
Ramai berpendapat bahawa pilihan raya kecil ini yang digelar 'ibu segala pilihan raya kecil' boleh membawa angin perubahan yang besar. Apakah faktor yang wajar diambil kira pengundi untuk memastikan perubahan itu bermakna kemenangan kepada BN.
Ada dua faktor. Pertama, kita mesti melihat dari perspektif seorang wakil rakyat yang benar-benar boleh membawa perubahan kepada keadaan hidup mereka. Datuk Arif Shah (Omar Shah) sebagai wakil rakyat, beliau amat baik, disenangi dan mudah didampingi.
Kedua, aspek politik nasional. Pengundi perlu faham mengapa mereka perlu sokong BN dan tolak pembangkang. Dalam hal ini, kita dapati pendirian Anwar amat diragui dalam banyak isu... banyak hal. Oleh itu, pengundi mesti lihat kesesuaian dan bidangnya dengan politik nasional.
Rekod kecemerlangan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah, terbukti apabila dipilih sebagai calon pada pilihan raya kecil ini. Bagaimanapun, pemilihannya seperti menimbulkan rasa tidak puas hati pihak tertentu hinggakan beliau dilihat mengatur kempen sendirian, seolah-olah ada unsur sabotaj dalam kempen BN?
Walaupun ada perbezaan pendapat, tetapi dalam hal ini Umno bersatu hati untuk memenangkan calon kita. Oleh kerana kawasan Parlimen ini luas dan kita hendak berkempen di banyak tempat. Kita kata pada Arif Shah, you (kamu) pergilah mana-mana pun, tidak penting sama ada lama atau sekejap di sesuatu tempat, tetapi yang penting dapat bersua muka, bersalaman dan memberikan ucapan sikit dan pindah ke tempat lain.
Jangan ikut protokol, jika saya atau PM (Perdana Menteri) datang, dia tidak datang pun tidak mengapa. Perkara ini sudah disampaikan kepada kepemimpinan bahagian dan saya yakin Umno Permatang Pauh akan menyokong dia (Arif Shah).
Kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan serta penggunaan dana Amerika Syarikat oleh kempen Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah senjata yang membuka mata dan minda rakyat, terutama pengundi Permatang Pauh. Apakah ia memungkinkan kejayaan BN nanti?
Nampaknya ramai sudah mula boleh berfikir selepas timbul banyak isu. Jika kata kita merancang atau ada konspirasi politik, ini sebenarnya tidak mungkin. Jika kita berfikir sejenak secara rasional, menggunakan akal kita, kita tidak mungkin dapat mengatur konspirasi. Walaupun ada niat konspirasi sekali pun, kita tidak mampu dan sesiapa pun tidak mampu buat sebenarnya.
Saudara Mohd Saiful menunjukkan satu tahap keberanian luar biasa kerana sanggup mendedahkan secara terbuka. Dia tidak fikir mengenai kesan terhadap diri dan masa depannya. Ini bermakna dia mempunyai tekad untuk membersihkan nama dan menebus maruahnya dengan bersumpah di masjid.
Saya sendiri seram bulu roma mendengar ayat yang dilafazkan, ayat yang cukup berat. Jika orang yang terbabit dalam konspirasi politik, dia tidak sanggup melafazkan sumpah begitu.
Tidak ada orang yang sanggup. Kalau sanggup pun akan dilaknat hingga akhirat, keturunannya pun dilaknat. Ini adalah sumpah yang cukup kuat!
Umum mengetahui bahawa Permatang Pauh sinonim dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Malah ketika ditandingi isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, bertanding pun sukar untuk BN menang, apakah pula peluang untuk Anwar kali ini?
Ketika pilihan raya umum kita tidak boleh turun dan jentera nasional tidak boleh turun. Ketika pilihan raya kecil, semua jentera boleh turun, termasuk pemimpin kita pun boleh turun. Keadaan sama juga seperti dia (Anwar) yang boleh buat begitu. Ini bermakna, kita ada peluang untuk ceritakan hal kita dan mengupas isu yang dibawa pembangkang. Sudah tentu, dia akan menghadapi saingan lebih sengit.
Bagaimana pula jika pada saat-saat akhir sebelum hari mengundi, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tampil bersumpah menafikan dia meliwat Mohd Saiful?
Patut soalan ini ditanya kepada dia. Tetapi dia kata, tidak perlu dan biarlah selesai di mahkamah, tetapi mahkamah syariah lain. Dia pandai cuba mengalihkan daripada isu sebenar.
Hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri semakin menyerlah apabila senarai Kabinet bayangannya diedarkan baru-baru ini, sedangkan kempen pilihan rayanya tidak mendapat sokongan rakan Pakatan Rakyat seperti Pas dan DAP?
Pakatan Rakyat sebenarnya tidak kukuh, tetapi dia cuba hendak menutup bahawa mereka ada banyak masalah dalaman. Apabila senarai Kabinet bayangan dikeluarkan, banyak persoalan timbul kerana Pas pun tidak tentu lagi menerima Anwar sebagai Perdana Menteri.
Dalam Muktamar Pas baru-baru ini pun, banyak perwakilan dan pemimpin yang bercakap memberikan pendapat berbeza. Ini bermakna sebelum dia berkuasa pun, sudah nampak seperti tidak ada persefahaman. Oleh itu, insya-Allah, rakyat perlu dimaklumkan perkara sebegini supaya tidak meletakkan kepercayaan di tempat yang salah dan merosakkan negara kita.
Perkembangan Pakatan Rakyat setakat ini ternyata tidak dapat meniru pendekatan BN yang menyerlahkan perpaduan dan kerjasama semua parti komponen?
Pakatan Rakyat tidak boleh menjadi BN. Pada peringkat negeri, masalah yang berlaku adalah masalah dalam negeri, tetapi jika berlaku pada peringkat Kerajaan Pusat, masalah itu membabitkan seluruh negara. Kita tidak boleh menggadaikan masa depan negara dengan memilih pihak yang kita tahu mempunyai banyak masalah dalaman.
Dalam kempen pilihan raya kecil, tumpuan kepada pembunuhan karakter Datuk Seri Anwar Ibrahim boleh memakan diri kepada BN kerana boleh menyebabkan pengundi bersimpati terhadap Anwar yang dikatakan sebagai mangsa konspirasi?
Kita tidak boleh melihat pada simpati saja, Anwar sudah keluar (dari penjara), sudah menjadi orang bebas dan dia boleh pergi ke mana saja. Kita tidak ada masalah dan tidak menafikan hak dia, kebebasan dia dan sebagainya. Kita hendak fikirkan masa depan pengundi Permatang Pauh dan masa depan negara.
Sebenarnya jika tengok gelagat dia, banyak yang boleh dipersoalkan. Pertama, apabila menghadapi tuduhan liwat, kenapa lari ke Kedutaan Turki. Kedua, dia kata dijemput, tapi sebenarnya dia jemput diri dia sendiri. Ketiga, Mohd Saiful Bukhari berani dan bertekad. Ini memberi gambaran bahawa jika seseorang itu terbabit dalam konspirasi politik, tidak mungkin dia berani melafazkan sumpah sebegitu sekali.
Ada banyak perkara yang kita boleh sangsi, itu tidak termasuk apa yang dia buat ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan yang Ezam Mohd Noor dedahkan.
Begitu juga mengenai Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang sebelum ini disokong sebagai institusi Melayu, tetapi sekarang hendak dibuka kepada orang lain sebanyak 10 peratus.
Banyak pendiriannya yang tidak konsisten. Sebagai contoh apabila harga minyak dinaikkan, kita kena balun (kecam). Apabila harga turun, kita kena sedia dikritik. Dia hendak dapat 'political mileage' (kelebihan politik) dalam semua hal, pada hal dia tidak sepatutnya dapat kerana yang buat itu adalah kerajaan.
Kita terima jika ketika terpaksa menaikkan harga minyak, jika orang marah pun kita terima, tetapi apabila kita turunkan harga minyak, sepatutnya kita terima sedikit sebanyak pujian atau penghargaan daripada rakyat. Kenapa pula ketika harga minyak naik kita kena kritik dan apabila turun, dia pula dapat pujian. Tidak bolehlah macam tu... sorong pun dia menang, tarik pun dia menang... tak bolehlah.
Apakah isu pembangunan menjadi tumpuan BN pada pilihan raya kecil ini kerana pengundi Permatang Pauh seolah-olah tidak melihat perkara ini sebagai penting dengan memilih pembangkang?
Saya fikir pembangunan bukan suatu perkara besar, lebih kepada sentimen dan persepsi. Kita perlu menangani keadaan ini dan kita melihat keadaannya lebih baik kerana kerajaan sudah dapat menangani banyak isu.
Berikutan pelbagai pendedahan yang dibuat, ada kemungkinan pengundi atas pagar dan ahli Pas memangkah calon AKIM, Hanafi Mamat?
Ada dua jenis penyokong Pas, iaitu penyokong tegar yang tidak akan mengundi Umno. Mereka ini tidak payah keluar mengundilah atau mengundi Akim, kita pun berterima kasih. Kedua, golongan yang bersimpati kepada Pas dan ada kemungkinan mereka menyokong Umno jika mereka suka kepada calon yang dipilih.
Pandangan Datuk Seri dengan kehadiran Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, pada saat-saat akhir kempen?
Tak apa, Hadi boleh datang, tetapi penyokong sudah mampu buat keputusan sendiri.
Undi pos sering kali menjadi bahan untuk pembangkang mempertikaikan integriti kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Bagaimana pula kali ini?
Kita pernah kalah dalam pilihan raya, walaupun ada undi pos. Jadi bukan bererti kita boleh memanipulasi undi pos. Ini tidak boleh dilakukan kerana SPR memerhati perkara ini dan kita tidak boleh menipu dalam soal undi pos kerana anggota polis dan tentera memangkah sendiri.
Lagi pun di sini (Permatang Pauh), undi pos tidak banyak dan tidak memberikan perbezaan yang banyak terhadap keputusan pilihan raya. Kita tidak buat begitu dan ini bukan cara BN.
Mesej Datuk Seri kepada pengundi Permatang Pauh pada 26 Ogos ini?
Kita sudah buat yang terbaik dan cuba menjelaskan isu yang dilemparkan parti lawan, selain meletakkan calon terbaik untuk pilihan pengundi. Jadi sekarang ini, kita merayu kepada pengundi untuk memberi peluang kepada BN kerana ini untuk kebaikan mereka sendiri dan negara.
Kepada penyokong pembangkang pula, perlu diingat bahawa orang kita juga ada kesabarannya. Oleh itu, saya harap pihak terbabit tidak melakukan kekasaran dan perbalahan secara fizikal seperti sebelum ini.
Selama menerajui pilihan raya kecil, apakah Datuk Seri sentiasa bersedia berdepan kegagalan dan kejayaan. Bagaimana Datuk Seri mempersiapkan diri untuk menerima sebarang keputusan Selasa ini?
Alhamdulillah, sejak dulu bukan saja berjaya, tetapi majoriti bertambah pada setiap pilihan raya kecil dan kali ini, kita akan menghadapi cabaran yang getir kerana berdepan dengan ketua de facto pembangkang di kampungnya sendiri. Jadi tidak mudah, tetapi dari segi minda, saya sentiasa berfikiran positif. Walau apa pun yang berlaku, saya masih positif.