Ke Berita Harian Online
Menu
Minda Pengarang: Rapatkan semula hubungan selepas kempen sengit

PENGUNDI di kawasan Parlimen Permatang Pauh sudah membuat keputusan dan mahukan Datuk Seri Anwar Ibrahim kembali mewakili mereka di Parlimen selepas 10 tahun ketiadaannya dan di situ jugalah beliau mula aktif dalam politik apabila mula bertanding pada 1982, tetapi atas tiket Barisan Nasional (BN). Kemenangan penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dengan menewaskan calon BN, Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Mamat, harus diterima dengan hati terbuka, terutama di kalangan penyokong BN yang sudah berusaha sedaya upaya untuk menambat hati 58,459 pengundi. Inilah amalan demokrasi tetapi demokrasi bukan setakat melalui proses pengundian, malah memegang kepada prinsipnya seperti tidak melanggar kelancaran proses demokrasi itu sendiri dengan kegiatan atau perbuatan ganas untuk menakut-nakutkan penyokong lawan.

Inilah perkara yang dikesali sehingga menjadikan pilihan raya kecil Permatang Pauh kali ini dianggap paling ganas dalam sejarah dengan mencatatkan banyak insiden tidak diingini sejak hari penamaan calon hingga semalam. Polis menerima lebih 70 laporan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk kekerasan, mengancam keselamatan, menghalang kempen, menjatuhkan poster pihak lawan dan menggunakan bahasa kesat. Namun, biarlah semua insiden itu terus berada dalam lipatan sejarah politik negara dengan harapan supaya insiden serupa tidak berulang pada masa akan datang. Semua pihak harus memandang ke hadapan dan merapatkan semula perpaduan selepas kempen sengit hingga soal keperibadian bagaikan menjadi topik utama.

Semua rakyat termasuk penduduk Permatang Pauh kini perlu berfikir sejenak mengenai nasib masa depan negara kita yang dihambat kenaikan harga minyak global, bukan berbalah mengenai isu politik semata-mata. Bayangkan sejak Pilihan Raya Umum 8 Mac lalu, banyak masa sudah dihabiskan dengan berpolitik apatah lagi isu demi isu ditimbulkan sehingga kita sendiri berasa muak dengan situasi itu. Rakyat harus bersatu dan menyokong apa saja tindakan kerajaan untuk menangani masalah ekonomi berikutan peningkatan kos sara hidup dan inilah masalah sebenar yang kita hadapi, bukan soal ketokohan individu tertentu.

Misalnya, Jumaat ini akan dibentangkan Bajet 2009 yang akan menentukan arah tuju negara bagi menghadapi situasi ekonomi yang rumit sekarang. Selagi kita terus berbalah sesama sendiri, selagi itu usaha untuk mensejahterakan negara dan mengukuhkan kembali ekonomi, sukar dicapai dalam suasana tidak begitu tenteram. Biar kita berbeza fahaman politik tetapi soal ekonomi dan perpaduan, tidak harus diketepikan semata-mata untuk mencapai impian politik. Kita harus melihat ke hadapan dan bergerak demi survival bangsa dan negara, bukan survival individu tertentu.