BUKIT MERTAJAM: Janji Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membuka ruang kepada bukan Melayu memasuki Universiti Teknologi Mara (UiTM) semata-mata bertujuan menarik sokongan bukan Melayu kepadanya, kata Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, hari ini.
"Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak tetap pendirian berhubung isu Melayu hingga sanggup mengorbankan kepentingan bangsanya demi kepentingan politik peribadi," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra dengan warga Institut Perguruan Tuanku Bainun, di sini.
Anwar yang juga calon PKR bagi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh 26 Ogos ini, dilaporkan berjanji menawarkan 20 peratus kuota kepada bukan Melayu untuk memasuki institusi pengajian tinggi itu semasa kempen pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga pernah mencadangkan supaya UiTM membuka ruang kepada bukan Melayu.
“Anwar tidak tetap pendiriannnya. Semasa menjadi Menteri Pelajaran, beliau mahu pastikan dasar ITM tidak akan berubah,” kata Menteri Pelajaran itu sambil merujuk salinan laporan media pada 28 April 1989 berkaitan perkara itu.
Dalam laporan itu, Anwar dilaporkan berkata bahawa institusi berkenaan akan terus kekal dengan polisinya iaitu pengambilannya hanya membabitkan pelajar Bumiputera saja.
Hishammuddin berkata Anwar boleh melakukan apa sahaja untuk mempengaruhi orang ramai menyertainya, termasuk mencadangkan dasar yang pernah dipertahankannya itu supaya ditukar. Beliau turut kecewa dengan tindakan penyokong pembangkang yang menafikan amalan demokrasi termasuk menurunkan bendera Umno dan membakarnya.
“Masyarakat sudah bosan dengan keganasan yang dicetuskan oleh pembangkang,” katanya.
Ketika berucap di majlis ramah mesra itu, beliau berharap masyarakat guru tidak terpengaruh dengan budaya ganas yang dibawa pembangkang.
Katanya sebagai pendidik, mereka perlu berada pada landasan yang betul dan bukan menjadi pencetus suasana tidak sihat.
Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator T Murugiah dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimudin Mohd Dom. — Bernama