KUALA LUMPUR: Tanpa mengira fahaman politik masing-masing, beberapa Ahli Parlimen hari ini mengutuk insiden serangan terhadap jurugambar semasa hari penamaan calon di Permatang Pauh Sabtu lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, berkata jurugambar dan wartawan mesti berupaya melaksanakan tugas mereka tanpa perlu berasa takut dengan serangan secara fizikal dan lisan.
“Ahli Parlimen teguh bersama-sama menentang sebarang keganasan terhadap petugas media. Kita perlu menangani perkara ini sebelum kejadian seumpamanya menjadi kebiasaan di negara ini,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Dalam insiden 16 Ogos lalu, jurugambar akhbar New Straits Times Press, Mohd Sairien Mohd Nafis, 26, dan jurugambr HBL Press News dari Perancis, Halim Berbar cedera dipukul sekumpulan lelaki memakai kemeja-T bertulis 'PKR' ketika Mohd Sairen sedang merakam insiden penyokong Barisan Nasional (BN) dalam satu kenderaan pacuan empat roda diserang sekumpulan penyokong parti pembangkang.
Berbar, yang cuba membantu Mohamed Sairen, turut diserang dan dipukul.
Mohamed Nazri berkata beliau akan membangkitkan perkara itu semasa mesyuarat Kabinet esok.
“Kami merayu kepada polis untuk mengambil tindakan mengikut kuasa mereka bagi memastikan insiden yang dialami kedua-dua jurugambar itu tidak berulang lagi.
“Kami berharap tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab bagi memastikan keyakinan wartawan dan jurugambar membuat liputan peristiwa politik di negara ini kembali pulih,” katanya.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng turut mengutuk sebarang bentuk serangan terhadap anggota media kerana mereka hanya menjalankan tugas mereka.
“Kami harap tindakan akan diambil terhadap mereka yang bertanggungjawab (melakukan serangan itu),” kata Lim, yang juga Ahli Parlimen Bagan. - Bernama