Ke Berita Harian Online
Menu
Kata kesat mainan Anwar di Permatang Pauh

BUKIT MERTAJAM: Istilah bangang, bahlol, bodoh, celaka dan sial digunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kempennya pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Anwar, yang terkenal dengan kepetahan berhujah dan berpidato terutama di zaman mudanya semasa memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), sebelum ini diketahui tidak pernah menggunakan perkataan kesat dan kasar seperti itu di khalayak ramai.

Kini beliau telah berubah dengan menggunakan perkataan seperti itu untuk menghidupkan ceramahnya.

Pada satu ceramah di Seberang Jaya baru-baru ini, penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, beliau terpaksa menggunakan perkataan itu.

“Orang Permatang Pauh ni lain sikit. Depa bukan boleh cakap lembut-lembut, nanti depa tak faham.

“Nak bagi faham, kena cakap macam ini. Baru boleh faham,” katanya.

Bagaimanapun beberapa hari selepas itu, pada satu ceramah lain, Anwar meminta maaf jika bahasa yang digunakannya itu berbunyi kasar.

“Azizah kata kat saya jangan cakap kasar-kasar,” katanya merujuk kepada nasihat isteri beliau, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR.

Dan dalam ucapannya di Seberang Jaya semalam, beliau lebih bersopan dan mengelak kata-kata kesat dan kasar seperti sebelumnya.

Dalam pilihan raya 26 Ogos ini, Anwar berdepan dengan Datuk Arif Shah Omar Shah daripada Barisan Nasional (BN), dan Hanafi Mamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim).

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas Dr Wan Azizah mengosongkannya bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding. — Bernama














Artikel lain: