BUKIT MERTAJAM: Presiden Parti Bersatu India Malaysia (Miup), Datuk S Nallakaruppan, semalam membuat laporan polis berikutan sekumpulan samseng mengugut pekerja bilik gerakan parti itu.
Pegawai Perhubungan Media Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh, Superintendan Shaharon Anuar Abdul Latif, berkata ugutan dibuat Selasa lalu terhadap dua pekerja wanita di bilik gerakan Miup Seberang Jaya.
Katanya, petugas itu didatangi sekumpulan lelaki antara jam 9 dan 10 malam dan mengarahkan mereka memaklumkan kepada Nallakaruppan supaya menutup bilik gerakan dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Seorang daripada kumpulan samseng itu mendakwa mereka adalah `kumpulan samseng nombor satu di Pulau Pinang' dalam bahasa Tamil.
"Pekerja itu kemudian memaklumkan kepada Nallakaruppan yang melawat bilik gerakan berkenan, sebelum membuat laporan polis," katanya.
Shaharon Anuar berkata, seorang daripada kumpulan samseng itu yang berusia 45 tahun kemudian ditahan semalam di sebuah restoran di Sungai Nibong, Georgetown, kira-kira jam 9.45 malam.
Lelaki itu yang beralamat di Georgetown, direman sehingga hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana membuat ugutan jenayah.