Ke Berita Harian Online
Menu
490 anggota polis mengundi secara pos

BUKIT MERTAJAM: Seramai 490 anggota polis hari ini keluar mengundi secara pos untuk pilihan raya kecil parlimen Permatang Pauh di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah, di sini.

Proses pengundian itu, yang diadakan di Dewan Gemilang IPD itu, bermula jam 8 pagi ini.

Penolong Pegawai Pengurus Undi Pos Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azizal Ahmad ketika dihubungi berkata, proses pengundian berjalan lancar dan pengundi mempunyai masa untuk menyerahkan kertas undi masing-masing kepada pihak pengurusan polis sebelum Selasa ini.

Katanya semua kertas undi yang ditanda perlu diserahkan kepada pejabat Pengurus Pilihan Raya sebelum jam 5 petang Selasa ini untuk dibuka bagi proses pengiraan undi.

“Kertas undi yang diserahkan selepas jam 5 petang tidak akan diterima,” katanya.

Beliau berkata selain 490 anggota polis, terdapat 171 petugas pilihan raya yang layak mengundi secara pos dan setakat ini, hanya 83 orang sahaja yang memohon untuk membuat pengundian sedemikian.

Katanya semua petugas berkenaan akan mengundi di pejabat pengurus pilihan raya.

Sementara itu, Pegawai Perhubungan Media Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, Superintendan Shaharon Anuar Abdul Latif, berkata proses pengundian setakat ini berjalan lancar.

Katanya anggota polis berkenaan datang mengundi secara berperingkat kerana mereka sedang bertugas. - Bernama














Artikel lain: