BUKIT MERTAJAM: Tarikh pengundian pilihan raya kecil Permatang Pauh yang ditetapkan pada 26 Ogos ini yakin akan membawa tuah kepada Barisan Nasional (BN), kata calonnya Datuk Arif Shah Omar Shah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi Seberang Jaya berkata tarikh itu jika dicampur iaitu dua campur enam akan berjumlah lapan, dan bulan Ogos pula bulan ke lapan dan tahun ini pula 2008.
"Bagi kaum Cina tarikh yang mempunyai banyak angka lapan dianggap sebagai bertuah kerana dalam budaya kaum Cina bunyi angka itu sama dengan bunyi kejayaan dan kemewahan,” katanya di sini hari ini.
Arif Shah, yang bersekolah di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina sejak sekolah rendah hingga menengah, berharap tarikh berkenaan akan bakal membawa kejayaan kepadanya.
Beliau juga yang dikenali di kalangan pengundi Permatang Pauh sebagai OCBC, “orang Cina bukan Cina”, berkata sebagai seorang Islam, beliau bagaimanapun menyerahkan segala-galanya kepada Allah S.W.T akan takdir yang ditentukan terhadap dirinya.
“Sekiranya sesuatu yang baik berlaku kepada saya berdasarkan kepada angka-angka tersebut maka ia adalah sesuatu yang kebetulan,” katanya.
Arif Shah, yang berhadapan dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Mamat pada pilihan raya kecil Selasa ini, juga yakin nombor tiga yang diberikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam susunan atur nama calon memberinya kelebihan.
Katanya bagi orang Cina nombor tiga bermakna “bukit” dan membawa tuah dan menambah kata: “Awal-awal lagi telah diberikan indikasi bahawa kita berada di kemuncak bukit.”
Menyentuh mengenai kempennya di saat-saat akhir pengundian, Arif Shah berkata beliau kini terpaksa mengubah sedikit strategi berkempennya untuk mengelak diambil kesempatan oleh PKR. - Bernama