Ke Berita Harian Online
Menu
Tak perlu saksi khas untuk mubahalah: Nakhaie

BUKIT MERTAJAM: Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Datuk Mohd Nakhaie Ahmad hari ini menegaskan, sumpah laknat yang dilafazkan Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah sah dan tidak perlu mana-mana pihak membangkitkan perkara remeh dan teknikal seperti perlu seorang saksi khas.

Katanya kesediaan Mohd Saiful melafazkan sumpah mubahalah itu menunjukkan secara tidak langsung bahawa beliau berada di pihak yang benar.

Mohd Nakhaie berkata pihak yang dituduh juga perlu melakukan perkara yang sama bagi membuktikan dirinya tidak seperti yang didakwa.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh oleh Mohd Saiful meliwatnya sehingga kini tetap enggan menyahut cabaran bekas pembantunya itu supaya bersumpah dengan memberi pelbagai alasan, termasuk sumpah sedemikian tidak menepati ajaran Islam.

Mohd Nakhaie berkata, kehadiran bapa Mohd Saiful, Azlan Mohd Lazim yang menyaksikan pemuda itu melafazkan sumpah laknat itu sudah memadai.

“Tidak perlu dilantik saksi khas untuk mendengar lafaz sumpah itu kerana di zaman Rasulullah S.A.W, dahulu, baginda membawa ahli keluarganya bersama ketika baginda bermuhabalah, bukan sebagai saksi tetapi untuk membuktikan kebenaran,” katanya ketika dihubungi di Sarawak.

“Baginda tidak pergi bersendirian tetapi membawa bersama orang yang disayangi dan jika sumpah baginda tidak benar, laknat Allah akan menimpa keluarganya juga,” katanya.

Beliau berkata ketika Mohd Saiful bersumpah di Masjid Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur pada 15 Ogos lalu, upacara itu sendiri disaksikan ramai lagi orang lain termasuk pemberita dan jurugambar.

“Cara Mohd Saiful bersumpah sudah lengkap serta mempunyai tertibnya dan tidak perlulah dipertikaikan perkara yang remeh yang tidak menjejaskan sumpah itu sama sekali.

“Kehadiran bapanya itu adalah memadai untuk mendengar lafaz sumpahnya itu kerana kalau dia (Mohd Saiful) bersumpah seorang diri, siapa yang tahu. Saya harap tidak perlulah dipertikaikan soal teknikal dalam upacara berkenaan kerana segala syaratnya telah dipatuhi, katanya. - Bernama














Artikel lain: