Ke Berita Harian Online
Menu
Ugut bunuh, letupkan bangunan antara laporan diterima polis

BUKIT MERTAJAM: Pelbagai laporan termasuk ugutan bunuh dan meletup bangunan diterima polis di sini berkaitan dengan pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh, esok.

Pegawai Perhubungan Media Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh, Superintendan Shaharon Anuar Abdul Latif, berkata polis sendiri turut menerima ugutan daripada seorang lelaki yang mendakwa akan meletupkan bangunan Umno, di Kubang Semang.

“Ugutan itu diterima oleh seorang anggota polis yang sedang bertugas di Balai Polis Kubang Semang di sini, kira-kira jam 11.13 malam tadi.

"Pemanggil menyatakan “kami akan letupkan Bangunan Umno di sini dan minta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak balik cepat (keluar dari Permatang Pauh)” dan kemudian pemanggil itu ketawa sambil meletakkan telefon,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Shaharon berkata, pemanggil didapati menggunakan talian telefon tetap dan polis sedang menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Sementara itu, seorang perayu undi Barisan Nasional (BN) hari ini membuat laporan polis mendakwa diugut bunuh oleh sekumpulan penyokong pembangkang ketika mengedarkan risalah dan cakera padat (CD) di Pasar Seberang Jaya, kira-kira jam 10 pagi ini.

Aisyah Hussin, 43, berkata berbelas penyokong pembangkang dipercayai Parti Keadilan Rakyat (PKR) merakam gambar kereta miliknya sebelum merampas CD dan risalah serta mengepung peraih undi lain.

“Mereka mengepung kami dan merampas risalah serta CD yang sedang kami edarkan kepada orang ramai di sini, mereka juga bertindak mencampak barang itu ke tanah dan memijaknya di hadapan kami.

“Ketika itu saya begitu terkejut dan terkedu kerana tidak menyangka sampai begitu sekali perbuatan mereka terhadap kami, apa salah kami,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Prai Tengah di sini, kira-kira jam 12 tengah hari ini.

Aisyah berkata, detik cemas kira-kira 10 minit itu berjaya dikawal selepas orang ramai dan pihak polis yang berada di situ membantu mereka.

Di GEORGETOWN; Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan Setiausaha Politiknya, Ng Wei Aik hari ini membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh terhadap mereka.

Bercakap pada sidang akhbar di pejabatnya di sini, Lim berkata ugutan bunuh itu diterima oleh Ng dalam sepucuk surat yang dihantar ke pejabatnya pada Khamis lalu, sehari selepas beliau berdebat dengan bekas ketua menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen.

Ng yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Komtar berkata beliau membuat laporan mengenai ugutan bunuh itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, pagi ini. - Bernama














Artikel lain: