Ke Berita Harian Online
Menu
Lebih 48 peratus keluar mengundi sehingga 2 petang

BUKIT MERTAJAM: Sebanyak 48.44 peratus atau 28,317 daripada 58,459 pengundi keluar mengundi pada pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh di sini sehingga jam 2 petang ini.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Kamaruzaman Mohd Noor, berkata jumlah itu masih lagi rendah memandangkan hanya ada tiga jam lagi sebelum pusat mengundi ditutup jam 5 petang.

Ketika dihubungi beliau berkata, kesesakan lalu lintas menyumbang kepada kelewatan pengundi tiba di pusat mengundi di kawasan Parlimen Permatang Pauh.

“Pengundi masih mempunyai masa untuk menunaikan tanggungjawab mengundi dan berharap mereka yang belum berbuat demikian supaya keluar segera,” katanya.

Pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh diadakan berikutan perletakan jawatan anggota Parlimennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai lalu bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di kawasan itu.

Pada pilihan raya itu, Anwar, 61, ditentang oleh calon Barisan Nasional (BN) Datuk Arif Shah Omar Shah, 51, dan Hanafi Mamat, 61, dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim). - Bernama














Artikel lain: